
KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menyambut ulang tahun ke-45 penubuhannya menerusi penganjuran Majlis Iftar LCDA Darul Hana 1447H/2026M dengan tema ‘45 Tahun LCDA Bersama Komuniti’ hari ini.
Majlis tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama kakitangan, ketua masyarakat, agensi serta jabatan kerajaan dan pihak media sepanjang empat dekad setengah perjalanan LCDA dalam menerajui pembangunan berteraskan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hadir menyempurnakan majlis berkenaan yang turut menghimpunkan sekitar 700 tetamu.

Pada majlis itu, Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi mewakili Kumpulan Syarikat LCDA menyerahkan zakat perniagaan 2025 berjumlah RM1,782,437.05 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Sumbangan tersebut diterima oleh Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie sebagai manifestasi komitmen berterusan LCDA dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyempurnakan penyampaian Sumbangan Hari Raya berjumlah RM25,000 kepada 125 penerima daripada 13 kampung di kawasan Projek Pembangunan Darul Hana, dengan setiap penerima menerima RM200.
Majlis iftar tahunan tersebut merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) LCDA bagi meringankan beban golongan memerlukan sempena Ramadan dan persiapan Aidilfitri, di samping memperkukuh hubungan antara agensi dan komuniti setempat dalam pembangunan Darul Hana yang inklusif dan mampan.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Masrin Affirah