DUNIA perfileman telah bermula di barat sejak 1878 dengan pengenalan ‘the Horse of Motion’ yang berupa siri beberapa gambar. Selepas itu pengenalan kinetoscope (1891) dan projektor yang dinamakan sinemotograf (1895) membawa kepada kemunculan panggung wayang di dunia. Selepas itu beberapa syarikat perfileman mula muncul dan menerbitkan filem-filem mereka sendiri. Fenomena baharu di dunia ini juga menjalar hingga ke Sarawak.
MODEN
Dalam hal ini banyak persoalan yang timbul tentang bilakah panggung wayang pertama muncul di Sarawak. Terdapat sumber menyatakan bahawa tayangan filem pertama dikesan pada September 1931. Namun demikian terdapat juga catatan dalam Sarawak Gazette pada 1922 bahawa Syarikat Shell memain peranan penting dalam menyediakan pelbagai kemudahan di Miri termasuk mewujudkan panggung wayang bersaiz besar.
Namun demikian pembinaan panggung wayang di Kuching lebih jelas tentang kewujudannya. Usaha untuk mewujudkan panggung wayang ini adalah atas inisiatif Raja Vyner Brooke. Hasrat beliau ini menjadi kenyataan apabila Pawagam Sylvia didirikan pada hujung 1934. Raja Vyner Brooke pernah ditanya tentang Hollywood, dan beliau berkata tidak berminat tentang Hollywood kerana Kuching sudah ada panggung wayangnya sendiri. Kata-kata beliau ini menunjukkan bahawa dia tidak perlu ke Hollywood untuk menonton wayang gambar, dan Kuching menyediakan semua keperluan hiburan ini.
Panggung wayang ini diberi nama Sylvia sempena nama isteri beliau yang juga minat dalam bidang perfileman ini. Panggung wayang tersebut juga dibina atas sumbangan Raja Vyner Brooke sendiri. Pembinaan panggung wayang ini menelan belanja sebanyak kira-kira $80,000. Kontraktornya adalah Gammons (Malaya) Ltd dari Tanah Melayu. Kontraktor ini menyiapkan pembinaan panggung wayang itu dalam tempoh tujuh bulan.
Sistem suara panggung wayang tersebut dibuat oleh Western Electric Company. Bangunan panggung wayang ini dibina berdasarkan ferus-konkrit, manakala dewannya dapat menempatkan penonton seramai 576 orang. Panggung wayang ini memulakan operasinya pada malam 24 November 1934 yang dihadiri oleh Rajah Vyner Brooke dan Rani Sylvia.
Dalam tayangan hari pembukaan itu, beberapan filem ditayangkan, dan filem pertama ditayangkan adalah filem King Kong. Sebelum tayangan filem bermula, penonton dihiburkan oleh muzik orkestra. Keesokan harinya panggung wayang tersebut dibuka kepada orang awam dan ia mendapat sambutan yang mengalakkan daripada penduduk sekitar Kuching ketika itu.
Sokongan Raja Vyner Brooke terhadap pembangunan pagung wayang ini berterusan dengan sumbangan beliau dalam peralatan moden. Pada 1937 misalnya beliau menyumbang ‘mirrophonic sound’ dan ‘Simplex E7 projectors’ dengan ‘Peerless Magnarcs’ kepada pawagam tersebut. Pengenalan sistem moden ini membawa kepada kemajuan dalam bidang hiburan di Sarawak, seiringan dengan perlembangan dunia perfileman moden ketika itu.
TAYANGAN FILEM
Bagi menguar-uarkan mengenai tayangan filem di Pawagam Sylvia ini, beberapa filem terkini disenaraikan dalam setiap bulan keluaran Sarawak Gazette. Kebanyakan filem ditayangkan dalam pawagam ini adalah filem-filem barat. Terdapat beberapa hari-hari tertentu dikhaskan untuk filem dari China. Antara filem berbahasa Cina ini yang ditayangkan pada 1939 adalah ‘Fight To The Last’, ‘Dream of the Red Chamber’ dan ‘Mr. Wang’s Birthday’.
Panggung wang ini juga memberi ruang kepada filem Melayu pada hari-hari tertentu. Namun demikian filem Melayu hanya diperkenalkan dalam panggung wayang ini pada sekitar 1941. Terdapat juga ruang ulasan dalam Sarawak Gazette tentang filem-filem yang sudah ditayangkan. Ada beberapa filem pada 1935 mendapat kritikan seperti ‘Blonde Venus’. Ada juga mendapat pujian seperti ‘Chu Chin Chow‘ dan ‘Below The Sea’. Filem-filem yang ditayangkan bukan sahaja filem hitam putih tetapi ada juga filem berwarna seperti ‘La Cucaracha’ dan ‘In Dancing Pirate’.
KESUKAAN RAMAI
Kewujudan panggung wayang ini menjadi tumpuan penduduk Kuching ketika itu. Ia menjadi sesuatu yang amat berharga bagi penduduk tempatan untuk meluangkan masa lapang mereka. Apabila Pawagam Sylvia ditutup sementara pada November 1935 selama dua hari akibat merebaknya penyakit difteria, timbul rasa resah dalam kalangan penduduk Kuching. Ini kerana pawagam ini menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk Kuching.
Pada ambang Perang Dunia Kedua, 20 Oktober 1941, pengurus Pawagam Sylvia telah memberi ruang kepada 600 pegawai dan tentera British, ‘Sarawak Constabulary’ dan Pengawal Pantai untuk menonton filem di pawagam tersebut secara percuma. Filem-filem yang ditayangkan disediakan oleh Pegawai Penerangan.
Selain itu, Pawagam Sylvia juga memain peranan dalam mengutip derma untuk ‘War Efford Fund’ dan ‘Chinese Relief Fund’. Untuk menjayakan usaha ini satu tayangan filem diadakan pada 13 November 1941. Selepas tayangan filem pertama ini, beberapa filem pendek ditayangkan pada hari tersebut. Di samping itu diadakan jualan amal oleh Tan Sum Guan. Beberapa gambar Rajah Vyner dan Rani serta Raja England telah dijual dalam jualan amal tersebut. Poster-poster pertanian juga dijualkan pada jualan amal tersebut.
Panggung wayang di Miri juga mula menjalankan usaha mengutip derma untuk tabung ‘Malayan Patriotic Fund’. Usaha ini sebenarnya dilakukan atas inisiatif Shaw Brothers yang memiliki beberapa panggung wayang di Tanah Melayu termasuk juga di Miri. Beberapa filem propaganda ditayangkan untuk tujuan tersebut.
PEMBIKINAN FILEM
Perkembangan dunia pawagam di Sarawak telah membawa aspirasi Rani Sylvia untuk menghasilkan filem tentang sejarah awal Sarawak. Dalam hal ini beliau bersama-sama dengan setiausahnya Cik F. Mann telah berangkat ke Hollywood, Amerika Syarikat untuk menerbit filem tersebut.
Perkembangan dunia hiburan yang berupa panggung wayang ini merupakan sebahagian daripada perkembangan pemodenan industri hiburan di Sarawak. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, perkembangan panggung wayang dan perfileman di Sarawak bertambah pesat dengan kemunculan pelbagai lagi panggung wayang di bandar-bandar utama di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).