
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah mengadakan lawatan ke Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) yang terletak di Jalan Puncak Borneo pada 10.00 pagi tadi.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut mesra Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Timbalan Pengerusi SBC, Adana Jed bersama isteri Azizah Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif SBC, Dato Dr Yeo Tiong Chia bersama isteri, Catherine Voo serta warga kerja SBC.
Semasa lawatan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ditemani anaknya, Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan suami, Hakeem dan cucunya Athena, diberi taklimat terperinci mengenai penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh SBC ke atas tumbuh-tumbuhan tempatan yang berpotensi untuk menghasilkan produk bio komersial, termasuk penemuan ubat-ubatan tradisional.

Lawatan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meliputi Taman Etnobotani, Kemudahan Penanaman Alga, Kemudahan Ganoderma serta Bangunan Penyelidikan Biodiversiti Bersepadu sebelum menaman sebuah pokok, Usah Badew atau Red Mangosteen sebagai simbolik lawatan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah di SBC.
Lawatan hampir dua jam ini merupakan satu pengalaman yang amat menarik dan satu proses pembelajaran untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kegunaan tumbuhan asli di Sarawak yang perlu terus dikaji kerana manfaat yang diperoleh daripada penyelidikan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.
Selain itu, kerjasama strategik bersama pihak swasta juga penting untuk memastikan kejayaan komersilisasi produk-produk tempatan tersebut.

Tun Wan Junaidi menzahirkan sokongan ke atas aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) yang sedang giat diusahakan oleh pihak SBC.
P&P adalah penting kerana ia adalah pelaburan dalam masa depan yang bukan sahaja memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memberikan masyarakat alat yang diperlukan untuk mengatasi cabaran dan meningkatkan kualiti hidup.
Sebelum keberangkatan pulang, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menandatangani buku pelawat dan seterusnya menjamu hidangan tengah hari bersama tetamu kehormat.
Lawatan ini mencerminkan sokongan Tun Wan Junaidi terhadap usaha pemeliharaan dan pemanfaatan biodiversiti negeri demi kemajuan sains, inovasi, serta kesejahteraan masyarakat Sarawak secara keseluruhan.