
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Wilfred Yap telah mengadakan lawatan tapak bersama pegawai Majlis Perbandaran Padawan bagi meninjau dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar yang telah siap dilaksanakan di kawasannya.
Lawatan pertama adalah ke Masjid As Syuhada Kem Semenggo, di mana kerja naik taraf di bawah peruntukan RTP 2023 berjumlah RM100,000 telah siap melibatkan penggantian bumbung, pemasangan 21 kipas dinding, kerja elektrik serta penambahbaikan lain.
Menurut Yap, rumah ibadat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Beliau turut meninjau projek naik taraf sistem perparitan di Lorong Sungai Tapang 9 di bawah peruntukan RTP 2024 sebanyak RM100,000 yang berjaya menyelesaikan masalah perparitan lama serta dijangka meningkatkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir ketika hujan lebat.
Yap turut merakamkan penghargaan kepada pegawai Majlis Perbandaran Padawan atas kerjasama memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk.
Oleh Connie Chieng