
SRI AMAN: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis hari ini telah mengadakan lawatan tapak ke Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja-kerja menaik taraf jalan akses menuju ke Jambatan Gantung Sungai Undop dan Balai Raya Rumah Lichang (Rumah John Jimbun), Kampung Entawa Ili di sini.
Beliau berkata, projek yang bernilai RM200,000 itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman dan telah ditawarkan kepada Syarikat Maju Pertama Enterprise melalui proses cabutan undi yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pemilihan Projek RTP yang diketuai oleh Residen Bahagian Sri Aman.
“Projek ini merupakan antara inisiatif kerajaan melalui peruntukan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) kawasan Simanggang yang bertujuan meningkatkan kemudahan asas penduduk luar bandar,” katanya.

Tambah beliau, projek yang kini sedang dalam proses pembinaan jalan akses pembetung itu dijadual siap dalam tempoh enam bulan, bermula 13 Oktober lalu hingga 12 Februari 2026.
Projek tersebut dibangunkan atas permintaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Entawa Ili bagi menyediakan kemudahan jalan yang lebih baik dan selamat kepada penduduk, khususnya yang mengusahakan aktiviti pertanian di seberang Sungai Undop.
“Apabila siap kelak, jalan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka peluang untuk penerokaan tanah terbiar milik penduduk bagi tujuan pertanian dan pembangunan ekonomi kampung,” ujarnya.
Turut hadir semasa lawatan tapak ialah Jurutera Awam, Vanessa Siah Sampar; Penolong Jurutera Awam JKR Bahagian Sri Aman, Johairi Saldrick; Tuai Rumah John Jimbun serta beberapa ahli JKKK Kampung Entawa Ili.
Oleh Adi Safarman