
PONTIANAK, INDONESIA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan strategik ke Pontianak bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan pemerintah Kalimantan Barat.
Menerusi pertemuan rasmi bersama Gabenor Kalimantan Barat, Drs. H. Ria Norsan, M.M., M.H., kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk mempererat kerjasama serantau dari segi integrasi ekonomi, inovasi serta pembangunan mampan di Borneo.
Dalam sesi perbincangan, Datuk Amar Awang Tengah menekankan peranan Sarawak sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau ini serta hab industri semikonduktor dan aeroangkasa, sejajar dengan usaha menarik pelaburan bernilai tinggi dan memacu kemajuan teknologi.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk usaha mempertingkatkan hubungan rentas sempadan melalui penyambungan semula penerbangan terus Kuching–Pontianak bermula 12 September ini, pengambilalihan MASWings oleh kerajaan Sarawak yang kini dijenamakan semula sebagai AirBorneo, serta perkhidmatan bas Singkawang–Kuching yang telah diperkenalkan pada 2024.
Langkah ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, perdagangan, dan akses kepada perkhidmatan kesihatan antara kedua-dua wilayah.
Selain itu, Datuk Amar Awang Tengah turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Ekonomi Sempadan Bersama bagi mempercepatkan normalisasi perdagangan dan merancakkan pembangunan bersama di kawasan sempadan.
Sebagai tanda komitmen jangka panjang, kerajaan Sarawak juga bakal menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Pontianak, sebagai platform rasmi memperkukuh kerjasama dua hala.
Lawatan ini diakhiri dengan persetujuan bersama untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mempertingkat konektiviti, memupuk inovasi serta mendorong kemajuan ekonomi yang mampan dan inklusif antara Sarawak dan Kalimantan Barat. -UKAS