
-Foto UKAS Sri Aman
SIMANGGANG: Siri lawatan kerja ke sembilan buah Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di Sarawak diteruskan dengan kunjungan ke Pejabat Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), pagi tadi.
SADA adalah merupakan destinasi lawatan kelima daripada sembilan buah agensi di bawah RDA di Sarawak bermula sejak 5 Mei lalu dan akan berakhir pada 16 Mei ini.
Lawatan rasmi ini diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mengetahui prestasi pelaksanaan projek-projek dan mengenal pasti isu-isu atau cabaran yang dihadapi oleh SADA.
Satu ‘Jawatankuasa Khas’ akan dibentuk untuk menyelaras dan melaporkan perkembangan serta isu yang dihadapi oleh RDA.
Jawatankuasa ini kelak akan dipengerusikan oleh Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, selaku
menteri bertanggungjawab dengan keahlian semua RDA termasuk agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) serta kementerian, agensi, jabatan yang berkaitan.
RDA ditubuhkan untuk merancakkan tempo pembangunan di wilayah berkenaan dengan kelulusan projek tanpa melalui agensi pusat. Semua cadangan projek dirancang oleh RDA masing-masing dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Wilayah berkenaan.
Projek-projek RDA dilaksanakan oleh agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.
RDA dan pemilik aset dikehendaki untuk merancang bajet dan tenaga kerja bagi operasi dan penyelenggaraan aset. Kerjasama padu daripada semua RDA untuk memastikan projek-projek yang dirancang dan diluluskan berjalan lancar serta bekerjasama rapat dengan agensi pelaksana dan agensi pemantau bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
Selain itu, beliau mengingatkan semua kontraktor yang telah menerima Surat Lantikan (LOA) agar memulakan kerja-kerja lapangan dalam tempoh 30 hari dari tarikh LOA.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling.
Oleh Adi Safarman