
BEKENU: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Subis bagi meninjau operasi pentadbiran serta mendengar secara langsung isu dan keperluan warga kerja Pejabat Daerah berkenaan.
Lawatan itu semalam mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan perkhidmatan awam di peringkat daerah dilaksanakan secara berkesan, tersusun dan selari dengan keperluan semasa.
Program dimulakan dengan tinjauan ke tapak cadangan pembinaan kuarters kakitangan yang terletak bersebelahan bangunan Pejabat Daerah Subis, diikuti acara simbolik penanaman pokok sebagai inisiatif mewujudkan persekitaran kerja yang hijau dan lestari.
Datuk Amar Mohammad Abu Bakar seterusnya dibawa melawat ke dalam bangunan pejabat sebelum menghadiri sesi dialog bersama kakitangan Pejabat Daerah Subis.
Sesi tersebut dimulakan dengan pembentangan isu-isu semasa oleh Pegawai Daerah Subis yang menyentuh aspek kebajikan, kemudahan serta keperluan sokongan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Dalam lawatan berkenaan, turut berlangsung sesi simbolik penyerahan bangunan Pejabat Daerah Subis daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) menandakan kesiapsiagaan fasiliti baharu tersebut untuk digunakan sepenuhnya bagi urusan pentadbiran daerah.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk keperluan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, isu kekurangan tempat tinggal kakitangan khususnya keperluan pembinaan baharu kuarters, serta aspek pembangunan kerjaya dan kemajuan perkhidmatan dalam sektor awam.
Lawatan tersebut turut menekankan kepentingan pendekatan penambahbaikan berterusan melalui amalan ‘Menilai, Mengkaji dan Memperbaharui Semula’ sebagai asas memperkukuh keberkesanan organisasi.


Tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) agar dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak kepada rakyat.
Selain itu, budaya kerja berpasukan terus digalakkan bagi mengelakkan amalan bekerja secara silo (terasing antara jabatan), di samping menggalakkan kakitangan meningkatkan keupayaan diri, menjaga kesihatan serta merebut peluang pembangunan kerjaya.
Kakitangan yang telah berkhidmat melebihi lima tahun di satu stesen juga digalakkan mempertimbangkan pertukaran sebagai pendedahan kepada pengalaman dan cabaran baharu.
Lawatan kerja ini diharapkan dapat memperkukuh tadbir urus pentadbiran daerah serta meningkatkan kesejahteraan warga kerja Pejabat Daerah Subis sejajar dengan aspirasi pembangunan perkhidmatan awam Sarawak yang progresif dan berorientasikan rakyat.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis serta kakitangan Pejabat Daerah Subis.
Oleh Adum Liu