
BINTULU: Seramai 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No. 2 mengadakan lawatan sambil belajar ke Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan UPMKB, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi, selain memperkenal pelbagai program pengajian yang ditawarkan di kampus berkenaan.

Rombongan disambut oleh Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FSPH, Prof. Madya Dr. John Keen Chubo yang turut menyampaikan taklimat mengenai latar belakang, visi dan misi UPM.
Taklimat tersebut memberi gambaran jelas tentang struktur akademik UPM serta peluang pendidikan yang boleh diterokai oleh pelajar selepas tamat pengajian di peringkat menengah.
Para pelajar turut berpeluang mengemukakan soalan berkaitan bidang pengajian dan laluan kemasukan ke universiti.
Guru-guru pengiring juga dipelawa untuk bekerjasama dalam membimbing pelajar membuat perancangan akademik yang lebih terarah dan realistik.
Rombongan turut dibawa melawat kemudahan pembelajaran di sekitar fakulti termasuk makmal dan kawasan penyelidikan bagi memberi gambaran lebih menyeluruh tentang proses pembelajaran dan pengajaran di UPMKB.
UPMKB menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif penting dalam merapatkan hubungan antara pihak sekolah dan universiti, selain menyuntik motivasi kepada pelajar luar bandar untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
“Diharapkan lawatan ini bukan sahaja akan dapat menginspirasikan para pelajar, malah memberikan gambaran jelas tentang masa depan yang boleh dicapai melalui usaha dan dedikasi dalam menuntut ilmu,” ujar kenyataan itu.
Oleh Carolyne Utih