
BINTANGOR: Semangat setia kawan dan kebersamaan dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) terserlah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, mengadakan lawatan Saberkas Prihatin bagi menyantuni exco Saberkas Cawangan Meradong.
Beliau menziarahi Abang Ibnu Izzwan Azzahari Abg Ahim yang sedang menjalani rawatan kesihatan, semalam, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap ahli pertubuhan itu.
Lawatan tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral terhadap beliau yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan pelaksanaan pelbagai program belia di kawasan Meradong.
Koung Hiing berkata, lawatan tersebut mencerminkan nilai kekeluargaan yang sentiasa menjadi asas perjuangan Saberkas dalam memastikan kebajikan setiap ahli sentiasa diberi perhatian.
“Saberkas sentiasa mengambil berat kebajikan setiap ahlinya dan akan terus memberikan sokongan moral kepada mereka, khususnya ketika berdepan cabaran kesihatan.
“Sumbangan dan komitmen beliau sebagai exco Saberkas Cawangan Meradong amat dihargai dan menjadi inspirasi kepada ahli-ahli lain untuk terus aktif menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui media.
Tambahnya, semangat kebersamaan dan sokongan berterusan amat penting dalam membantu memberi kekuatan moral kepada ahli-ahli Saberkas yang sedang sakit.
“Kami mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan yang segera serta terus tabah dan kuat menghadapi ujian ini.
“Kami berharap beliau dapat kembali sihat dan terus bersama Saberkas dalam menjayakan pelbagai program belia di kawasan Meradong,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meluangkan masa bertanya khabar, memberikan kata-kata semangat serta mendoakan agar Abang Ibnu Izzwan Azzahari terus berfikiran positif sepanjang tempoh pemulihan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua dan Timbalan Setiausaha Saberkas Cawangan Meradong, Azmi Tambi.
Oleh Earl Anek