
MIRI: Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Dato’ Aminudin Yahaya telah mengadakan lawatan kerja ke Lawas dan Miri semalam.
Lawatan kerja dua hari itu merangkumi beberapa pintu masuk utama serta Pejabat Imigresen di negeri ini.
Kenyataan JIM Sarawak hari ini memberitahu lawatan itu bermula di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok disambut oleh Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) JIM Sarawak, KPP Norhafiza Junaidi serta Ketua Imigresen Bahagian Lawas, KTPP Abdul Rahman Eali.
Antara pengisian utama lawatan ialah Mesyuarat Penyelarasan Pintu Masuk Tiga Penjuru yang melibatkan JIM Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Mesyuarat tersebut menekankan kepentingan persefahaman, penyeragaman proses kerja serta pematuhan kepada peruntukan undang-undang bagi memastikan kelancaran operasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Perbincangan turut melibatkan pengurusan pintu masuk, pembentangan operasi ICQS Merapok serta penekanan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan Imigresen,” kata kenyataan itu.

Sepanjang lawatan, Dato’ Aminudin turut mengadakan lawatan tapak, meninjau kaunter perkhidmatan masuk dan keluar, menerima taklimat operasi serta beramah mesra dengan warga kerja Imigresen di setiap lokasi.
“Beliau juga memberikan maklum balas dan respon konstruktif terhadap isu serta cabaran operasi yang dikemukakan,” jelasnya.
Secara keseluruhan, lawatan rasmi ini dijangka dapat memperkukuh kerjasama antara wilayah, meningkatkan motivasi warga JIM Sarawak serta mempertingkatkan kecekapan dan profesionalisme penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Oleh Adum Liu