Lawatan NSJA ke Parlimen perkukuh pemahaman wartawan mengenai demokrasi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
UNTUK ALBUM… Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man (tengah) bergambar bersama ahli Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) sempena lawatan kerja selama empat hari ke Kuala Lumpur dan Parlimen.

MIRI: Lawatan kerja Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) ke Kuala Lumpur dan Parlimen selama empat hari berjaya memperkukuh pemahaman pengamal media mengenai sistem demokrasi berparlimen negara serta peranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, lawatan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai itu merupakan kali ketiga beliau menganjurkan dan menyokong program berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif itu penting bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada wartawan dari utara Sarawak mengenai proses penggubalan undang-undang, fungsi Parlimen dan sistem pentadbiran negara.

“Sepanjang lawatan itu, peserta mengikuti sesi lawatan berpandu di Parlimen, menerima taklimat mengenai prosedur Parlimen serta berpeluang menyaksikan persidangan Dewan Rakyat. Mereka juga dapat berinteraksi dengan menteri dan ahli Parlimen bagi memahami dengan lebih mendalam proses penggubalan dasar awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kewartawanan yang berkualiti merupakan tonggak penting dalam memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti, di samping memainkan peranan besar dalam memperkukuh amalan demokrasi negara.

Chiew berkata, peserta turut mengadakan lawatan ke MOTAC bagi memahami fungsi kementerian serta usaha kerajaan dalam membangunkan sektor pelancongan, seni dan budaya negara.

Katanya, rombongan turut mengunjungi beberapa agensi di bawah MOTAC, termasuk Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan Balai Seni Negara bagi melihat sendiri usaha memelihara serta mempromosikan warisan budaya negara.

“Saya berharap pengalaman ini membolehkan para wartawan mempromosikan produk pelancongan, budaya tempatan dan industri kreatif Malaysia dengan lebih berkesan, khususnya di utara Sarawak dan kawasan Parlimen Miri,” katanya.

Beliau berharap semua peserta pulang dengan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai fungsi Parlimen dan MOTAC, di samping lebih menghargai peranan penting media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta memperkukuh demokrasi negara.

Oleh Liong Chai Ling 

Menganyam warisan, mempertahan identiti

SRI AMAN: Di sebalik setiap bilah buluh yang dianyam menjadi Ketapu Lanjang, tersimpan tekad seorang pengusaha untuk memastikan warisan masyarakat