
MIRI: Sarawak terus memperkukuh kerjasama dua hala dengan Indonesia, khususnya dalam aspek tenaga kerja dan pembangunan sektor pertanian menerusi lawatan kerja ke Sulawesi Utara hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, beliau mengiringi Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom dalam lawatan tersebut yang memberi fokus kepada pengambilan Pekerja Migran Indonesia (PMI) dari Provinsi Sulawesi Utara.
Menurut beliau, perbincangan bersama pihak berkuasa di peringkat provinsi tertumpu kepada keperluan tenaga kerja di Sarawak, terutamanya bagi sektor kelapa sawit serta sektor pertanian lain yang kritikal kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Saya turut berkongsi mengenai proses penerimaan pekerja di Sarawak, termasuk pematuhan undang-undang buruh, aspek kebajikan pekerja serta tanggungjawab majikan dalam memastikan pengambilan dibuat secara sah dan teratur,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menerangkan pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) yang ditubuhkan bagi mempercepatkan proses kelulusan permit kerja untuk PMI, di samping menambah baik kecekapan sistem pengurusan pekerja asing.
Inisiatif itu juga, katanya, membantu mengurangkan ruang serta risiko aktiviti tidak telus melalui proses yang lebih bersepadu.
Gerawat menegaskan usaha berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan pengurusan tenaga kerja asing dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.
Beliau berharap hubungan kerjasama antara Sarawak dan Provinsi Sulawesi Utara akan terus diperkukuh demi pembangunan serantau yang mampan.
Oleh Liong Chai Ling