
BETONG: Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mual Suaud, telah mengadakan lawatan kerja ke dua lokasi pembinaan masjid di Bahagian Betong bagi meninjau perkembangan semasa projek-projek berkenaan.
Menurut kenyataan media JAIS, lawatan pertama adalah ke tapak projek pembinaan masjid baharu Kampung Semarang, di mana projek tersebut telah mencapai kira-kira 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun ini.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan JAIS, Abang Hishamudin Abang Othman, Pegawai Agama Islam Bahagian (PAIB) Betong, Ustaz Mohd Isselahuddin, wakil konsultan, wakil kontraktor, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan, Sahadan.
Lawatan bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan demi keselesaan dan kemudahan jemaah setempat.

Selain itu, Ustaz Mual Suaud turut meninjau Tapak pembinaan Masjid Bahagian Betong serta kerja-kerja ubah suai Masjid Jamek Betong.
Lawatan ini memberi peluang untuk menilai perkembangan projek serta memastikan pembinaan berjalan lancar mengikut jadual.
Beliau menzahirkan harapan agar masjid yang dibangunkan dapat menjadi pusat ibadah dan penyatuan ummah khususnya di Bahagian Betong.
Lawatan ini turut disertai Ustaz Hazimin Shakir Said (Ketua Bahagian Kemajuan Institusi Masjid JAIS), Ustaz Isselahuddin Kameri (Pegawai Agama Islam Bahagian Betong), pegawai-pegawai daripada JAIS, serta Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong.
Oleh Adi Safarman