NORWAY: Delegasi dari Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, telah mengadakan lawatan ke Taman Tenaga di Øygarden, Vestland, semalam.
Lawatan ini bertujuan meneroka teknologi hijau terkini, dengan taman tenaga tersebut berfungsi sebagai model bagi keseluruhan ekosistem penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Selain menyediakan kemudahan penyimpanan CO₂, ia juga membolehkan pengeluaran tenaga berskala besar berasaskan hidrogen daripada gas asli menggunakan teknologi CCS.
Sepanjang lawatan, Ketua Pegawai Eksekutif Coast Center Base (CCB), Ronny Haufe, memberi penerangan mengenai konsep simbiosis industri yang diterapkan di taman itu, di mana integrasi industri dilakukan secara mampan untuk membangunkan ekosistem ekonomi yang unik.
CCB, sebuah syarikat perkhidmatan utama berpangkalan di Ågotnes, berhampiran Bergen, Norway, memiliki kepakaran dalam logistik, penyelenggaraan serta perkhidmatan sokongan bagi sektor minyak, gas, dan maritim.
Selain itu, CCB juga aktif dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga angin luar pesisir, pengeluaran hidrogen, serta teknologi CCS menerusi CCB Energy Park di Øygarden. Ia turut memainkan peranan penting dalam projek CCS Northern Lights, yang menyokong usaha Norway dalam kelestarian dan pengurangan karbon.
Delegasi Sarawak menunjukkan minat tinggi untuk meneroka potensi pembangunan konsep serupa di negeri itu, memandangkan Sarawak mempunyai sumber semula jadi yang banyak dan berpotensi menjadi peneraju tenaga lestari.
Sarawak telah lama melaksanakan projek hidroelektrik utama seperti Empangan Murum dan Bakun, yang menyumbang kepada bekalan tenaga bersih di Malaysia.
Kini, usaha sedang giat dijalankan ke arah ekonomi yang lebih lestari dengan memanfaatkan tenaga hidro, menghasilkan hidrogen, serta meneroka teknologi penangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong peralihan kepada masa depan rendah karbon.
Delegasi turut berkesempatan melawat kemudahan Northern Lights dan memperoleh maklumat mendalam mengenai proses penyimpanan CO₂.
Komitmen Sarawak terhadap tenaga hijau dan penyelesaian iklim, serta kepakaran CCB dalam bidang ini, membuka ruang untuk potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.
Perkongsian ini bertujuan mempercepatkan kemajuan teknologi tenaga bersih melalui pertukaran pengetahuan dan sumber.
Delegasi tersebut turut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah (LCDA) Datu Sr Zaidi Mahdi, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak Datu Lester Matthew, Timbalan Pengarah MIDA Stockholm Khairul Azhar Amil Hamzah, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang. – EDISI UKAS