
LAWAS: Daerah Lawas akan menjadi tuan rumah kepada sebuah acara bertaraf antarabangsa yang menggabungkan perlumbaan perahu naga, persembahan tarian rakyat, dan festival makanan dalam satu program mega bertemakan “BEYOND WAVES & DANCE RHYTHMS: Celebrating Dragon Boat Racing, Line-Folk Dance & Food Festival 2025”.
Program yang julung kali diadakan di Lawas ini akan berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 Mei 2025 bertempat di Tebingan Sungai Lawas dengan penganjuran oleh Persatuan Kebajikan Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas.
Menurut jurucakap Jabatan Penerangan Daerah Lawas Senawi Abang, program ini turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, serta mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di kawasan Lawas.
“Pelbagai acara menarik menanti pengunjung, antara acara utama yang bakal mencuri tumpuan ialah perlumbaan perahu naga yang melibatkan 28 pasukan dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Labuan, serta persembahan tarian rakyat dan Line-Folk Dance daripada 25 kumpulan pelbagai etnik.

Festival ini juga akan menampilkan persembahan pentas hiburan daripada artis tempatan dan luar, jualan makanan dan produk tempatan, serta pameran dan penjualan pakaian serta barangan keperluan harian oleh usahawan kecil dan penjaja tempatan, ” katanya selepas meninjau kawasan di Pentas Tebingan Sungai Lawas.
Acara yang bertemakan “Memartabat Budaya, Menggalak Pelancongan” adalah objektif utama program ini dalam menyokong memelihara warisan budaya tempatan, menggalakkan gaya hidup sihat melalui seni tari, serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama melalui sukan tradisional seperti perahu naga.
Festival ini juga dijangka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat, dengan memberi ruang kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Majlis perasmian festival ini dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong.
Oleh Adeng Edrus