
LAWAS: Daerah Lawas yang terletak di utara Sarawak kini menyaksikan pembangunan pesat dan progresif hasil limpahan kemerdekaan sejak penubuhan Malaysia 62 tahun lalu, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, beliau menyifatkan kemajuan Lawas sebagai bukti kejayaan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan, khususnya di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Selepas 62 tahun bersama membentuk Malaysia, Lawas kini muncul sebagai destinasi berdaya saing, dinamik dan progresif. Menjelang 2030, Lawas akan berkembang menjadi bandar moden lengkap dengan infrastruktur, bangunan pencakar langit, dan pelbagai kemudahan,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan pelbagai inisiatif pelancongan baharu termasuk pembangunan sektor agro pelancongan, eko pelancongan dan edu-pelancongan di Lawas.
Antaranya ialah pengeluaran keju mozzarella buatan tempatan di Meragang, pembangunan jelapang padi di Sundar oleh pelabur luar serta cadangan menjadikan Sundar sebagai destinasi agro dan edu-pelancongan utama.
“Keju mozzarella dari Lawas bakal menjadi produk ikonik yang akan menarik pelancong ke Meragang, manakala projek jelapang padi di Sundar bukan sahaja mengukuhkan sekuriti makanan, malah memperluas sektor pelancongan pendidikan dan pertanian,” katanya.

Dr Abdul Rahman turut menekankan komitmen kerajaan dalam memperkukuh prasarana pendidikan, ekonomi dan sosial di Lawas, termasuk perasmian Pusat Latihan Teknikal (CENTEXS) oleh Premier Sarawak pada 25 Ogos, pembangunan Anjung Usahawan sebagai pemacu ekonomi setempat, kemudahan riadah dan sosial untuk kesejahteraan masyarakat.
“Lawas akan lengkap dalam semua aspek pembangunan menjelang 2030 daripada ekonomi, pendidikan hingga sosial. Ini adalah visi kami untuk memastikan tiada daerah tertinggal dalam arus pembangunan negeri,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Konvoi Jalur Gemilang Peringkat Daerah Lawas di Dewan Kampung Luagan, Sundar.
Program diteruskan dengan pelepasan konvoi ke Bintulu yang disempurnakan oleh Dr Abdul Rahman dan Dato Henry Sum Agong.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, wakil Jabatan Penerangan Sarawak Roszilawati Nor Aziz serta kenamaan tempatan.
Oleh Adeng Edrus