
LAWAS: Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) di Parlimen Lawas mampu mencapai sasaran dalam pengeluar ternakan ikonik Bahagian Limbang iaitu kerbau.
Malahan pendekatan lebih kreatif telah diaplikasikan dalam pembinaan kandang kerbau menggunakan tiang daripada simen yang merupakan pertama di negara ini.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Bahagian Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar Dato Sri Rohani Abdul Karim memberitahu bahawa beliau amat gembira melihat kejayaan program Prospek di Lawas yang berjaya melibatkan komuniti setempat.
“Ini ikonik projek iaitu ternakan kerbau di Lawas. Jadi, kita melihat tapak baru dibuka dengan kandang dan mereka mencadangkan supaya bahan untuk membuat kandang itu daripada konkrit.
“Prospek berkaitan ternakan kerbau akan menjadi yang pertama mungkin di Malaysia. Kami mengalakkan usaha seperti ini,” katanya semasa mengadakan lawatan pemantauan projek ternakan kerbau di Kampung Long Tuan dan projek tanaman jagung di Kampung Long Kachu Ulu Trusan hari ini.

Beliau turut memberitahu dua ladang kerbau baru dengan keluasan 100 ekar setiap satu dengan kapasiti penuh 100 kerbau setiap ladang bakal menyuntik kepada kejayaan mencapai sasaran 10,000 kerbau menjelang 2030 daripada Bahagian Limbang.
“Sebagai permulaan dua baka kerbau jantan dan 18 betina kerbau betina akan ditempatkan di setiap ladang kerbau di Long Tuan.
“Kita seharusnya melihat ini sebagai perkara yang istimewa kerana tidak ada di tempat lain. Insy-Allah, kita diminta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu 20,000 kerbau hasil dari Prospek ini, ” tambahnya.

Terdahulu beliau menghadiri taklimat dua projek berkenaan di Hotel Seri Malaysia Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Long Kachu dan Long Tuan di Ulu Trusan.
Bagi projek tanaman jagung, beliau memberitahu seramai 13 peserta daripada Kampung Long Kachu telah terlibat dalam penanaman jagung dengan keluasan lima hektar.
Mereka telah memohon peruntukan tambahan untuk tanaman jagung yang bukan sahaja dijual ke pasaran luar termasuklah makanan ternakan di Lawas.
Oleh itu, beliau memberi jaminan akan mengemukakan laporan untuk menyokong permohonan pembesaran projek ternakan kerbau dan tanaman jagung di Trusan, Lawas.
Oleh Adeng Edrus