KUCHING: Laungan ‘Yak Yak Yeay’ daripada Bintang Paling Popular Malaysia, Bell Ngasri akan menghangatkan Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching pada Sabtu ini bersempena dengan kemuncak Bintang Kecil RTM 2024.
Bell akan menjadi pengacara pada malam itu bersama gandingan hebat, Osha Basri.
Bintang Kecil RTM pada tahun ini turut membawa kelainan apabila tiada acara separuh akhir.
Pengarah Penyiaran Sarawak , Wan Azhan Wan Hamat berkata, seramai 14 peserta akan berentap mewakili setiap zon dan antarabangasa, disamping tiga peserta yang datangnya dari Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura.
“Kali ini, adalah penyertaan sulung Singapura selain penyertaan Indonesia dan Brunei Darussalam,” katanya dalam sidang media sempena Kemuncak Bintang Kecil RTM 2024 di Kuching, hari ini.
Selama 38 tahun penganjurannya, pogram ikonik RTM khasnya, dalam usaha mencungkil dan menggilap bakat kanak-kanak dalam Malaysia amnya dan Sarawak khasnya.
Menjangkau usia lebih tiga dekad sejak 1986, Bintang Kecil dilihat sebagai platform terbaik mengangkat bakat muda ke peringkat lebih tinggi.
Ini terbukti dengan kelahiran bakat-bakat besar yang berjaya mengisi dan memeriahkan industri seni muzik tanah air.
Pada 2010, Program Bintang Kecil mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai The Longest Production and Broadcast of Children Singing Competition on Radio.
Mengulas lanjut, katanya, pentas kemuncak Bintang Kecil RTM 2024 akan bermula pada 9.00 malam.
“Ia juga boleh ditonton secara langsung di saluran TV2, fb SARAWAKfm dan layar besar di perkarangan RTM Kuching,” katanya.
Johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, naib johan (RM15,000) dan ketiga (RM10,000) manakala RM5,000 untuk Saguhati.
Penonton di lokasi berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa tiket penerbangan pergi balik KCH – KUL – Dubai, KCH – KUL – Shenzen, emas, baucer pakaian dan banyak lagi.
Oleh Nur Ain Otsman