
SIBU: Kepelbagaian latar belakang dalam kalangan pemimpin komuniti, termasuk daripada parti politik yang berbeza, seharusnya dilihat sebagai kekuatan dan bukannya menjadi punca perpecahan.
Pengerusi Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming berkata, kerjasama serta persefahaman dalam kalangan ahli amat penting bagi memastikan persatuan terus berfungsi dengan berkesan dalam memperjuangkan kepentingan komuniti.
Menurutnya, sekiranya timbul salah faham atau perbezaan pandangan, pemimpin komuniti perlu menyampaikan pendirian secara tenang dan membina agar keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Dalam masyarakat majmuk, pemimpin komuniti perlu menjadi jambatan komunikasi bagi memastikan maklumat daripada pihak atasan dapat disampaikan kepada masyarakat, selain menyalurkan suara rakyat kepada pihak berkaitan.
“Peranan pemimpin komuniti bukan sahaja sebagai penyelaras dalam komuniti, malah turut berfungsi sebagai penghubung antara masyarakat dan pihak kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-11 Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu bagi sesi 2025–2026 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, petang semalam.
Lau turut menekankan kepentingan melahirkan pelapis kepimpinan khususnya dalam kalangan generasi muda supaya kesinambungan kepimpinan komuniti dapat diteruskan.
“Generasi muda mempunyai pandangan lebih luas serta idea yang inovatif, justeru mereka perlu diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti persatuan serta khidmat masyarakat bagi membentuk mereka sebagai pemimpin komuniti pada masa hadapan,” jelasnya.
Beliau berharap semua ahli persatuan terus mengekalkan semangat kerjasama, saling mempercayai serta memperkukuhkan perpaduan dalaman bagi memastikan persatuan terus berkembang dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha dan Bendahari Kehormat Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu Kapitan Sim Tang Fei dan Penghulu Yong King Sung.
Oleh Akun Giman