BULAN Ramadan tidak akan menjejaskan sesi latihan skuad Sri Aman FA bagi mengharungi kempen Liga SSC-FAS 2021 yang akan memasuki pusingan kedua selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengurus Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, anak-anak buahnya akan memulakan siri latihan awal pada penghujung April ini bagi meningkatkan kecergasan.
“Ketika ini semua pemain diberi cuti rehat sempena awal Ramadan namun mereka akan melaporkan diri pada hujung bulan ini untuk latihan kecergasan.
“Latihan tetap diteruskan seperti biasa dalam usaha memastikan kecergasan pemain sepanjang mengharungi bulan Ramadan ini.
“Latihan kali ini akan lebih menitik beratkan kepada stamina dan kecergasan pemain termasuk situasi semasa melibatkan perlawanan-perlawanan yang akan kita harungi nanti,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Anak didik ketua jurulatih, Sufian Ibrahim dan dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari itu kini berada dalam ‘mood’ terbaik dalam bersedia memastikan pasukan itu terus mendahului carta Zon Tengah Sarawak.
“Sudah tentu kita mahu meneruskan momentum selepas rehat panjang sejak menewaskan Sarikei FA 2-0 di gelanggang lawan pada 3 April lalu.
“Saya percaya pemain juga memiliki misi yang serupa untuk memburu kemenangan pada baki perlawanan lain selepas ini,” ujar Awang Putrayusrie.
Beliau menegaskan, keputusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menunda tarikh perlawanan antara Sibu FA menentang Sri Aman FA, 9 April lalu sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada kedua-dua pasukan kerana memiliki tempoh rehat serta persiapan lebih lama.
Perlawanan antara Sibu FA dan Sri Aman FA yang dijadualkan berlangsung pada 11 April lalu di Kompleks Sukan Bintangor ditunda ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Saya menyifatkan ia sebagai medan terbaik kepada Sri Aman FA mempertingkatkan intensiti latihan bagi menghadapi aksi lebih kompetitif selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pemain supaya meneruskan sesi latihan yang dijangka bermula hujung hulan ini seperti biasa sebelum aksi berlangsung semula pada Mei nanti.
Oleh ADI SAFARMAN