

LATIHAN.…Pasukan PBB BBP Bintangor menjalankan latihan OIFF secara praktikal, semalam. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Latihan praktikal pengukuhan pengetahuan dan kemahiran anggota bomba bantuan (PBB) dengan teknik pemadaman kebakaran memasuki bangunan atau pemadaman kebakaran dalam bangunan secara ofensi (OIFF) telah dijalankan selepas latihan teori, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata ia adalah bagi meningkatkan tahap kemahiran serta kesiapsiagaan pasukan bomba dalam menghadapi kebakaran di ruang tertutup atau bangunan bertingkat.
“Latihan praktikal ini memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan anggota PBB dalam mengendalikan operasi pemadaman kebakaran yang berlaku di bangunan tinggi atau kawasan tertutup seperti bangunan kediaman, pejabat dan premis komersial.
“Objektif latihan adalah untuk memberi pendedahan mendalam dan memastikan anggota bomba sentiasa bersedia dari segi pengetahuan teknikal, kemahiran taktikal serta keberanian menghadapi situasi kebakaran sebenar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, latihan ini juga bertujuan meningkatkan keyakinan setiap anggota bomba berkenaan kefahaman penggunaan peralatan serta kemahiran membuat penilaian pantas ketika operasi menyelamat dan pemadaman.
“Kebakaran di kawasan tertutup memerlukan teknik pemadaman yang tepat dan keberanian tinggi kerana faktor haba, asap tebal serta laluan yang terhad boleh meningkatkan risiko kepada anggota.
“Pemadaman kebakaran dalam bangunan memerlukan perancangan rapi, kawalan pergerakan pasukan yang baik serta teknik pengendalian nozel yang sesuai bagi memastikan keselamatan anggota dan keberkesanan pemadaman selain mengelakkan kerosakan atau pembaziran,” katanya.
Tambahnya, latihan berterusan seperti ini penting bagi mengekalkan tahap profesionalisme dan kesediaan anggota PBB yang sering digerakkan membantu operasi kebakaran di kawasan luar bandar.
“Kami mahu setiap anggota bomba bantuan benar-benar bersedia menghadapi cabaran sebenar di lapangan.
“Pengetahuan teori sahaja tidak mencukupi tanpa latihan praktikal seperti ini,” katanya.
Oleh Earl Anek