Latihan praktikal lesen B2 libatkan 337 peserta di Batu Kawah

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Seramai 337 peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah menjalani latihan serta penilaian praktikal Bahagian 2 dan Bahagian 3 di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Min Lit Batu Kawah, hari ini.

Latihan dan penilaian berkenaan dikendalikan penguji daripada Bahagian Pelesenan Pemandu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai sebahagian proses mendapatkan Lesen Memandu Kelas B2 yang sah.

JPJ berkata, pelaksanaan latihan itu bertujuan memastikan peserta memiliki kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan sebelum dibenarkan memandu di jalan raya.

SERAMAI 337 peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 DUN Batu Kawah menjalani latihan dan penilaian praktikal Bahagian 2 dan 3 di perkarangan SMK Min Lit Batu Kawah, Kuching, hari ini. Foto : JPJ Sarawak

“Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara JPJ, Pusat Khidmat Batu Kawah dan Institut Memandu MKM Sdn. Bhd.

“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar, teratur dan mencapai objektif ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPJ turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat Batu Kawah, Institut Memandu MKM Sdn. Bhd., para penguji serta semua pihak yang terbabit atas kerjasama dan komitmen menjayakan program berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi