

KEMAHIRAN DIPERTINGKAT... Latihan pengendalian peralatan ambulans oleh APM Meradong dan APM Sarikei. Foto APM Sarikei
BINTANGOR: Kemahiran anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus dipertingkatkan menerusi latihan pengendalian peralatan ambulans melibatkan sembilan anggota dari Meradong dan Sarikei, bertempat di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Meradong.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata latihan tersebut memberi tumpuan kepada kemahiran mengendalikan peralatan ambulans dengan betul serta penyelenggaraan logistik bagi memastikan kesiapsiagaan semasa operasi kecemasan.
“Latihan seperti ini amat penting untuk memastikan setiap anggota APM memahami fungsi dan cara penggunaan peralatan ambulans dengan tepat serta dapat bertindak pantas apabila berdepan situasi sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media, baru-baru ini. Katanya, latihan tersebut diketuai oleh Sarjan (PA) Iswandi Wahedi dan dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden kecemasan dilaporkan.
“Selain pengendalian peralatan, latihan ini turut menekankan kepentingan penyelenggaraan.
“Ia adalah supaya setiap aset ambulans berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan pada bila-bila masa,” katanya.
Oleh Earl Anek