
LIMBANG: Latihan Kecemasan Bangunan bagi Operasi Haji Tanah Air (OHTA) telah dilaksanakan sejak tahun 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diteruskan di pelbagai lokasi termasuk di Lapangan Terbang Limbang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Malaysia Airports dan Lembaga Tabung Haji bagi menguji keberkesanan pelan tindakan kecemasan serta memastikan kesiapsiagaan petugas Tabung Haji dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.
“Latihan ini memberi peluang kepada petugas untuk mengenal pasti aliran pengungsian bangunan, lokasi tempat berkumpul, serta sistem keselamatan kebakaran di lapangan terbang,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penutupan Latihan Kecemasan Bangunan OHTA 2025 di Lapangan Terbang Limbang, hari ini.
Menurut beliau, latihan seperti ini juga penting dalam memberi kesedaran dan panduan kepada jemaah haji tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku insiden kecemasan di terminal lapangan terbang.
Tambah beliau, Tabung Haji merupakan agensi utama yang bertanggungjawab menghantar jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci setiap tahun bagi menunaikan Rukun Islam kelima.
“Pada tahun ini, seramai 31,300 jemaah dari seluruh negara akan berangkat ke Mekah dan Madinah menggunakan pengangkutan udara, melibatkan lapan lapangan terbang utama,” katanya lagi.
Oleh Adeng Edrus