SARATOK: Seramai 29 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok menyertai Latihan Pasukan Mingguan (Pertama) bagi Julai 2026 yang diadakan di perkarangan Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Saratok sebagai usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan kecekapan menghadapi pelbagai situasi kecemasan serta bencana.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata latihan berkenaan melibatkan penyertaan anggota MyASPA-P, MyASPA-O dan ASPA yang diberikan pendedahan kepada pelbagai modul latihan berasaskan operasi sebenar.
Beliau berkata latihan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan APM dalam memastikan setiap anggota memiliki tahap disiplin, kompetensi dan kesiapsiagaan yang tinggi bagi melaksanakan tugas menyelamat dengan lebih berkesan.
Menurutnya, antara silibus yang dijalankan ialah kawad kaki, pengenalan peralatan medik di dalam ambulans serta modul Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (R.A.M) yang memberi fokus kepada pengurusan insiden kemalangan jalan raya.
Selain latihan teknikal, peserta turut mengikuti aktiviti pembinaan pasukan atau team building menerusi Cabaran Kepit Kertas dan Teka Gaya dan Rupa yang bertujuan meningkatkan kerjasama serta persefahaman dalam kalangan anggota.
Nur Athirah berkata gabungan latihan teknikal dan aktiviti berkumpulan penting bagi memperkukuh kemahiran komunikasi, koordinasi serta kepimpinan yang menjadi elemen utama dalam pengendalian operasi kecemasan.
Katanya, anggota penyelamat perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran di lapangan, justeru latihan secara konsisten mampu memastikan setiap anggota bertindak pantas, tepat dan mengikut prosedur operasi yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan anggota bukan sahaja bergantung kepada penguasaan kemahiran teknikal, malah memerlukan semangat kerja berpasukan yang tinggi bagi menjayakan setiap misi penyelamatan.
Tambah beliau, APM Daerah Saratok akan terus menganjurkan latihan secara berkala sebagai platform meningkatkan profesionalisme dan keupayaan anggota selaras dengan peranan agensi itu dalam pengurusan bencana serta bantuan kecemasan.
Katanya, usaha memperkasakan latihan berterusan diyakini mampu melahirkan anggota yang berkemahiran tinggi, cekap dan berdaya saing sekali gus memastikan APM terus bersedia memberikan perkhidmatan terbaik demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman



