Latihan litar tingkat kesiapsiagaan anggota bomba

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor terus memperkukuh tahap kecergasan fizikal dan kesiapsiagaan anggotanya menerusi latihan litar yang menekankan aspek ketahanan, kekuatan dan kecekapan dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan yang diadakan baru-baru ini disertai empat anggota dan merupakan sebahagian daripada latihan berkala bagi memastikan setiap anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.

“Latihan litar ini dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal, daya tahan dan keupayaan anggota dalam melaksanakan tugas menyelamat serta memadam kebakaran dengan lebih cekap dan berkesan.

“Setiap anggota perlu mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi kerana tugas sebagai anggota bomba menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental serta keupayaan bertindak pantas dalam pelbagai situasi kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, latihan itu merangkumi enam stesen yang direka bentuk bagi mensimulasikan cabaran sebenar yang sering dihadapi ketika menjalankan operasi di lapangan.

“Antara latihan yang dijalankan termasuk menarik hos, membawa hos yang digulung, menaiki dan menuruni tangga, menarik patung latihan penyelamatan, berjalan sambil membawa beban pada kedua-dua belah tangan serta merangkak di bawah halangan.

“Setiap komponen latihan mempunyai objektif tersendiri dalam meningkatkan kekuatan otot, daya tahan kardiovaskular, koordinasi pergerakan dan kecekapan anggota ketika melaksanakan operasi menyelamat,” katanya.

Mahmudin berkata, latihan yang dilaksanakan secara konsisten bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi individu, malah turut memperkukuh kerjasama berpasukan yang amat penting dalam setiap operasi kecemasan.

Oleh Earl Anek