
BINTULU: Pendekatan menyeluruh melibatkan latihan keselamatan kebombaan dalam komuniti perlu digiatkan bagi memperkukuh budaya pencegahan dan kesiapsiagaan terhadap risiko kebakaran serta letupan industri di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, insiden letupan industri yang berlaku di Bintulu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini membuktikan keperluan mendesak untuk membentuk kesedaran dan perubahan sikap dalam kalangan pekerja serta masyarakat.

“Latihan sebegini bukan hanya penting di tempat kerja tetapi juga dalam komuniti dan keluarga.
“Ia membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan responsif terhadap risiko.
“Kegagalan sistem boleh membawa kepada kegagalan tadbir urus, namun puncanya sering kali adalah tingkah laku manusia.
“Justeru, latihan perlu diperkasakan dan sentiasa dikemas kini agar semua pihak tahu apa yang perlu dilakukan dalam menghadapi kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Badan Peneraju Industri (ILB) Bidang Kebombaan Zon Utara 2025 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Menurut beliau, usaha pencegahan dan keselamatan kini perlu bergerak seiring dengan pendekatan proaktif seperti ramalan risiko dan penggunaan teknologi terkini.
“Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada tindakan memadam kebakaran.
“Pencegahan, ramalan serta pendekatan proaktif perlu menjadi norma baharu, seiring dengan aspirasi Premier Sarawak untuk membangunkan negeri ini melalui ekonomi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.
Seminar yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari pelbagai sektor industri itu turut disokong oleh Persatuan Sukan dan Kebajikan Bomba Sarawak (PESKEBS) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Ia bertujuan meningkatkan kompetensi industri dalam aspek kebombaan selaras dengan keperluan keselamatan dan pembangunan mampan negeri.
Oleh Carolyne Utih