SERIAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian berjaya melaksanakan latihan kebakaran dan pengungsian bangunan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Serian, hari ini, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi situasi kecemasan.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata latihan itu melibatkan penyertaan seramai 95 peserta dan merangkumi simulasi kebakaran, operasi menyelamat mangsa, demonstrasi penggunaan alat pemadam api serta sesi taklimat selepas latihan yang dikendalikan oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut beliau, latihan berkenaan berjaya mencapai objektifnya dalam memberi pendedahan kepada warga IPD Serian mengenai prosedur tindak balas yang betul, pantas dan selamat sekiranya berlaku kebakaran atau situasi kecemasan lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPD Serian dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serian atas kerjasama erat yang diberikan sehingga latihan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
Oleh Connie Chieng




