
BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah Bau telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan berkaitan isyarat tangan kawalan lalu lintas bagi meningkatkan pengetahuan dan tahap kesiapsiagaan anggota dalam menjalankan tugas pengawalan trafik.
Ketua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide A Rahman berkata latihan tersebut diadakan di Bilik Rekreasi IPD Bau dari 10.00 hingga 11.00 pagi hari ini.
Menurutnya, ceramah telah disampaikan oleh pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik iaitu Insp Dzul Hafiz Dolhan, Sjn Muhammad Ali Abdul Rahman dan Kpl Misbon John.
“Seramai 24 peserta telah menghadiri latihan ini yang terdiri daripada dua pegawai kanan polis, 19 anggota polis dan tiga pegawai awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Haide berkata latihan tersebut memberi tumpuan kepada penggunaan isyarat tangan serta teknik tiupan wisel yang betul semasa melaksanakan tugas kawalan lalu lintas.
Beliau berkata objektif latihan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas pengurusan dan kawalan lalu lintas serta memahami kaedah pelaksanaan kawalan trafik secara sistematik.
“Latihan ini juga bertujuan menjelaskan kepentingan kawalan lalu lintas bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan serta keselamatan pengguna jalan raya, selain menerangkan peruntukan undang undang berkaitan tugas penguatkuasaan trafik,” katanya.
Tambahnya, program tersebut turut memberi penerangan mengenai peranan anggota pengawal trafik serta teknik penggunaan wisel dan isyarat tangan yang standard ketika mengawal lalu lintas.
Beliau berkata latihan itu berjaya meningkatkan kefahaman serta kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan tugas pengawalan lalulintas secara lebih profesional, teratur dan berkesan.
Oleh Connie Chieng