
LIMBANG: Keadaan di sekitar Lapangan Terbang Limbang bertukar cemas apabila satu letupan kecil berlaku di luar pintu masuk utama, menyebabkan beberapa penumpang dan orang ramai mengalami kecederaan.
Situasi panik dan ketidaktentuan selepas letupan itu turut menyebabkan pelepasan asap nipis berwarna kekuningan yang merebak dengan cepat ke kawasan awam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot, kemudiannya menjelaskan bahawa kejadian tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada Latihan Stimulasi Pengurusan Ancaman bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan letupan (CBRNe) Ex-Gamma 2025.

Beliau berkata latihan ini bertujuan untuk menguji dan menilai keupayaan operasi sistem pengurusan kecemasan secara interaktif.
“Latihan ini menguji kecekapan dan kesiapsiagaan semia agensi menghadapi ancaman CBRNe di kawasan lapangan terbang, meningkatkan kefahaman terhadap peranan dan tanggungjawab setiap agensi dalam situasi sebenar.
“Pada masa sama latihan ini dapat mengukuhkan mekanisme koordinasi dan komunikasi antara agensi semasa krisis dan menilai keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam pengurusan kecemasan lapangan terbang,” katanya ketika ditemui media pada Latihan Stimulasi Pengurusan Ancaman CBRNe Ex-Gamma 2025 di Lapangan Terbang Limbang semalam.

Seramai 100 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dan penyelamat menyertai latihan berskala penuh itu.
Antaranya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lapangan Terbang Limbang (MASB) dan agensi kerajaan lain.
Turut sama Ketua Bomba Zon Tujuh, JBPM Limbang Ramlan Marajan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang Tawang Lingem dan ketua agensi kerajaan lain.
Oleh Adeng Edrus