
SARIKEI: Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubuk Lemba telah menjalankan latihan bulanan yang dikendalikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik.
Menurut Arrahman, beliau bersama seorang anggota bomba bertugas telah mengendalikan latihan tersebut di balai PBS Lubuk Lemba baru-baru ini.


LATIHAN…..Ahli-ahli PBS Lubuk Lemba menjalankan latihan bulanan di balai PBS Lubuk Lemba. Foto BBP Sarikei
“Latihan bulanan PBS Lubuk Lemba bermula pada 3.30 petang hingga 5.00 petang.
“Objektif latihan adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan ahli PBS Lubuk Lemba semasa menjalankan operasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, latihan tersebut juga bertujuan memastikan ahli PBS memahami isyarat yang betul bagi perintah buka dan tutup air semasa operasi pemadaman kebakaran dijalankan.


LATIHAN…..Ahli-ahli PBS Lubuk Lemba menjalankan latihan bulanan di balai PBS Lubuk Lemba. Foto BBP Sarikei
“Antara kandungan latihan adalah kaedah membawa hos bomba dengan betul, membentang dan menggulung hos serta penyambungan hos bomba dan nozel.
“Latihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” ujarnya.
Oleh Earl Anek