
GEDONG: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus memberi penekanan terhadap pembangunan keusahawanan sebagai salah satu komponen utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkasa wanita luar bandar agar lebih berdikari dan berdaya saing.
Selaras dengan matlamat tersebut, satu program latihan pembuatan kek dan roti telah dianjurkan hari ini bertempat di Rumah Usahawan Wanita Gedong melibatkan penyertaan seramai 15 peserta wanita dari kawasan sekitar.

Program berkenaan dikendalikan oleh tiga orang fasilitator berpengalaman dalam bidang bakeri yang bertujuan memberi pendedahan teori dan praktikal kepada para peserta, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menjadikan bidang tersebut sebagai sumber pendapatan utama keluarga.
Hadir sama bagi memberikan sokongan kepada para peserta ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Dalam sesi libat urus bersama peserta, para wanita turut diingatkan agar terus berkomitmen memperjuangkan pembangunan luar bandar merangkumi aspek infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan sosioekonomi masyarakat.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dengan sokongan pelbagai pihak pada masa akan datang, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan wanita luar bandar yang berjaya dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. –UKAS