

TAHNIAH kepada Raja Nazran Shah kerana telah berjaya menghasilkan sebuah cerita tentang sesuatu latar yang membawa mesej berguna kepada masyarakat tentang pengorbanan guru. Penulis ini mempunyai bakat menulis dan mampu bercerita dengan penguasaan bahasa yang baik tentang subjek dan berjaya menyampaikan mesej dalam cerita.
Sinopsis
Shahril ditempatkan berkhidmat di sekolah pedalaman Sarawak. Dia bercerita tentang Alex yang kematian ibu bapa kerana rumah mereka terbakar. Dia melihat perubahan Alex; tidak lagi ceria. Shahril mengambil keputusan mendekati Alex. Dia berjaya mengubah Alex hingga menjadi murid yang tekun belajar. Shahril menyedari bahawa betapa bermaknanya kehidupan sebagai seorang guru berpeluang mengubah kehidupan seseorang.
Penulis menggunakan latar tempat di pedalaman sebagai latar cerita. Sesuai dengan ceritanya tentang kehidupan cikgu di pedalaman. Latar ini penting untuk menghidupkan cerita. Sejauh manakah pengarang boleh mencipta latar tentang pedalaman? Adakah latar itu hidup atau latar kosong seperti dibayangkan oleh penulis atau penulis memang mampu bercerita tentang latar itu dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimuatkan dengan teliti dalam cerita?
Dalam cerpen ini, penulis berjaya bercerita tentang latar khusus sekolah di pedalaman seperti perenggan berikut, walaupun tentang loceng. Loceng boleh mengaitkan latar sebuah sekolah. Loceng itu juga dikaitkan dengan hal lain yang berhubungan dengan latar pedalaman, iaitu mengapa loceng automatik tidak digunakan? Penulis menyatakan bahawa sekolah tersebut sebenarnya mempunyai loceng automatik, sekali gus menggambarkan suatu makna lain bahawa sekolah di pedalaman juga mengikut perubahan semasa, namun alat (loceng automatik) itu tidak dapat digunakan kerana masalah lain, iaitu kemudahan elektrik yang terbatas. Kekuatan penulis adalah keupayaannya mendedahkan masalah bekalan elektrik di pedalaman secara kreatif. Lebih jauh lagi, penulis menyampaikan mesej tentang peralatan sekolah seperti komputer dan kelengkapan makmal di pedalaman yang mempunyai kekangan untuk berfungsi di luar bandar. Perhatikan olahan penulis tentang perkara yang dimaksudkan:
Mentari tergelincir sedikit dari ufuk langit. Pukul 1.00 tengah hari. Kedengaran bunyi loceng digoncangkan secara manual dengan penuh semangat oleh guru bertugas. Menunjukkan tamatnya waktu persekolahan. Bukannya tiada loceng yang berdering secara automatik, namun tidak dapat berfungsi dek kerana enjin generator yang terpaksa dicatu penggunaannya bagi menjaga jangka hayat enjin tersebut. Shahril berjalan perlahan ke arah rumah kuarters yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung di situ. Kuarters kerajaan yang sedia ada tidak cukup untuk menampung bilangan guru yang ditempatkan di sekolah ini.
Selain itu, dalam petikan di atas juga penulis bercerita tentang kemudahan rumah guru yang tidak mencukupi; hal ini memang masalah biasa di sekolah pedalaman. Shahril dengan paksa rela menerima keadaan untuk tinggal di rumah yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Shahril mewakili guru-guru lain juga tidak mempunyai pilihan lain melainkan tinggal di situ kerana jarak sekolah yang jauh daripada bandar atau kemudahan awam.
Penulis melanjutkan ceritanya tentang keadaan rumah yang didiami oleh guru di pedalaman. Raja Nazran bercerita tentang suasana tidak selesa agar pembaca boleh membayangkan keadaan itu melalui tulisan latar yang dibina oleh penulis. Dia terpaksa tinggal di rumah itu dalam keadaan panas kerana tidak ada pilihan lain yang tersedia untuknya. Dia menerima keadaan itu kerana urusan kerja dan tempat mencari rezeki. Keadaan itu diceritakan oleh penulis seperti berikut:
Pintu ditolak perlahan dengan saki-baki kudrat yang ada. Pandangan Shahril seperti berpinar-pinar. Namun, bukan disebabkan kepeningan tetapi berpunca daripada wap haba-haba panas yang berkuap di dalam rumahnya dek cuaca panas yang melanda. Seperti fatamorgana di tengah-tengah gurun Sahara. Inilah situasi biasa yang sering berlaku di sini. Tempat Shahril menabur bakti sebagai pendidik. Tempat Shahril berusaha demi sesuap nasi. Tempat Shahril mempraktikkan segala ilmu yang dihadam sepanjang lima tahun bergelar siswa di institut perguruan.
Penulis juga tertarik untuk melanjutkan ceritanya tentang suasana panas rumah tersebut, mungkin mengajak pembaca menghayati keadaan yang telah mengganggu keselesaan individu sepertinya dan juga kepada guru-guru lain. Dengan kekangan masalah elektrik yang digambarkan sebelumnya, iaitu ‘enjin generator yang terpaksa dicatu’, pembaca telah memahami suasana latar, seperti tulisan penulis;
Pintu rumah Shahril sudah sedia ada terbuka. Jika dibiarkan bertutup, haba-haba panas yang terkumpul di dalam rumah pasti akan menyiat-nyiat kulit isi rumah itu.
Selain itu, latar tidak hanya diceritakan melalui teknik pemerian tetapi juga dilukis melalui dialog. Dialog digunakan sebagai alat untuk menjelaskan tentang latar jauh dan gambaran perjalanan menuju destinasi latar cerita. Ddialog mengukuhkan latar pedalaman ciptaan penulis yang memberitahu pembaca bahawa latar itu di pedalaman yang jauh dari bandar. Hal ini diceritakan oleh penulis seperti berikut:
“Aku mesej kawan aku tadi Shah. Tanya tentang sekolah kau ni. Dia kata, kalau tak silap nak ke sekolah kau, kena naik bot ekspres selama enam jam. Kalau guna jalan darat, boleh makan masa tiga jam. Itu pun jalannya macam permukaan bulan,” Samad tertawa semasa menghabiskan ayat terakhirnya itu.
Petikan di atas juga menyentuh isu kemudahan jalan raya di pedalaman. Penduduk di situ terpaksa bergantung kepada sungai untuk bergerak kerana tidak mempunyai kemudahan jalan raya seperti di bandar. Keadaan ini digambarkan oleh penulis dengan perbandingan di permukaan bulan.
Penulis menggambarkan lebih terperinci tentang latar sekolah itu dengan kedudukannya yang tidak jauh daripada perkampungan orang Penan. Latar masyarakat yang menyatakan suku kaum boleh membantu pembaca memahami kedudukan latar tersebut. Kedudukan sekolah itu amat dekat dengan penempatan orang Penan seperti tulisan penulis yang berikut:
Kuarters guru ini terletak bersebelahan dengan perkampungan orang Penan. Hanya beberapa langkah sahaja dari kuarters, sudah kelihatan rumah panjang tersebut. Hanya dipisahkan dengan pagar dawai berwarna hijau yang menjadi perimeter di sekeliling sekolah. Oleh sebab itu, mudahlah untuk murid-murid ini datang ke sekolah pada setiap petang untuk membantu guru-guru di sini.
Lebih menarik lagi mungkin berdasarkan pengalaman, penulis telah bercerita lebih dalam bukan sekadar menyatakan latar tempat dan lokasi sebaliknya mengajak pembaca memahami sebahagian kecil maklumat berkaitan kehidupan masyarakat seperti bunyi, binatang peliharaan dan kegemaran masyarakat di situ seperti tulisan penulis:
Malam hujung minggu di pedalaman ini tidak seperti meriahnya di kota raya. Bertemankan suara cengkerik yang berlawan sahutannya dengan katak. Dimeriahkan dengan suara kucing yang bertegas merebut kawasan dan pasangan masing-masing. Terdengar juga suara nyanyian karaoke daripada rumah panjang yang terletak berhampiran kawasan sekolah ini. Kadang-kadang merdu, kadang-kadang sumbang. Ada kalanya lagu sedih, sesekali lagu penuh kegembiraan. Bergantung kepada siapa yang menyanyikannya.
Selain itu, penulis juga bercerita tentang latar masyarakat di sekolah, iaitu rakan sekerjanya, berkaitan suasana tempat kediaman guru dan isu-isu berkaitan profesion keguruan. Penulis juga memasukkan pandangannya dan pandangan ketuanya tentang kerjaya guru seperti tulisannya:
Sambil menonton, dia menghirup air coklat panas yang sempat dibelinya semasa ke bandar pagi tadi. Hanya itu sahaja di atas meja kopinya. Tidak ada longgokan buku-buku latihan seperti yang sering dilihat dalam drama-drama televisyen. Bagi Shahril, kerja sekolah perlu disiapkan di sekolah. Di tempat kerja. Rumah ialah tempat untuk berehat dan bersantai. Bahkan itulah juga pesanan yang disampaikan oleh guru besarnya setiap kali mesyuarat sekolah. Bukan apa, sebenarnya untuk mengurangkan tekanan dan stres dalam kalangan guru-guru yang semua ambil maklum, merupakan antara golongan yang sentiasa dilaporkan mengalami tekanan mental dan perasaan.
Dari segi menghidupkan latar cerita, penulis sudah mampu membina struktur cerita berkaitan latar kejadian cemas. Walaupun kelihatan tulisannya masih di permukaan menggambarkan suasana itu, namun masih boleh membantu untuk mendalami latar itu. Dalam cerpen ini penulis membina latar suasana kebakaran rumah panjang seperti berikut:
Rumah panjang tersebut nampaknya tidak dapat diselamatkan daripada jilatan api yang mengganas itu. Strukturnya yang diperbuat daripada kayu, memudahkan tugas api untuk menelan segala isi rumah panjang itu. Namun, ada juga beberapa orang penduduk rumah panjang itu cuba untuk memadam api tersebut. Terdengar jeritan bergema di segenap kawasan itu. Ada ibu yang sedang mencari-cari anaknya, ada anak-anak kecil yang menangis kegelisahan, ada juga yang masih terpinga-pinga tidak mampu menerima hakikat yang berlaku.
Walaupun penulisan latar di atas masih di permukaan, namun pengulangan cerita (tidak digalakkan) perenggan selanjutnya nampak lebih mengukir latar tersebut seperti berikut:
Api masih menjulang tinggi, menyapu seluruh rumah panjang yang menjadi tempat berteduh Alex dan keluarganya selama ini. Jeritan dan tangisan masih bergema di sekitar kawasan kejadian, namun dalam kekalutan itu, Alex hanya berdiri kaku, matanya kosong, dan air mata mengalir perlahan di pipinya.
Kekuatan cerpen ini ialah mesej cerita yang disampaikan pada akhir cerita. Cerpen ini menyedarkan guru-guru yang diwakili oleh watak Shahril agar sedar tentang tanggungjawab mulia mereka dalam mengubah manusia ke arah kebaikan dan bermanfaat kepada manusia lain. Kesedaran Alex tentang kehidupannya menjadi klimaks cerita setelah dia tidak bersemangat dan kurang ceria selepas peristiwa kebakaran. Kesedaran itu diceritakan oleh penulis seperti berikut:
“Cikgu, saya nak jadi pegawai bomba satu hari nanti,” kata Alex pada suatu petang ketika mereka berdua duduk di tangga kuarters. Kata-kata itu mengejutkan Shahril.
“Oh! Kenapa tiba-tiba nak jadi pegawai bomba?” tanya Shahril, kehairanan.
Alex terdiam seketika. Matanya memandang jauh ke arah sisa rumah panjang yang kini hanya tinggal rangka terbakar.
“Saya tak mahu orang lain kehilangan keluarga macam saya. Kalau saya jadi pegawai bomba, saya boleh tolong ramai orang. Mungkin… mungkin dengan kemahiran dan kepakaran yang saya ada, ibu dan bapa saya masih ada lagi,” suaranya sedikit bergetar mengungkapkan cita-cita murninya.
Mesej ini menjadi kemuncak cerita apabila Alex berubah setelah Shahril berusaha mendekatinya. Namun mesej yang lebih penting daripada itu ialah kesedaran dalam diri Shahril tentang kerjaya seorang guru yang mulia seperti tulisan penulis yang menjadi penutup cerita;
… Kehadirannya di sini bukan lagi sekadar satu beban, tetapi satu peluang untuk mengubah kehidupan seseorang.
Dengan semangat membara di jiwanya, dia meletakkan telefon itu kembali di meja dan mengalihkan pandangan ke luar jendela, melihat langit yang bertaburan bintang. Hatinya terasa lapang. Di sini, di tempat yang jauh dari hiruk-pikuk bandar, dia telah menemui sesuatu yang lebih berharga daripada segala yang pernah ditinggalkannya. Makna sebenar sebuah kehidupan.
Penambahbaikan
Latar adalah penting dalam cerita ini kerana ia berkaitan dengan pengorbanan guru yang menjadi tunjang mesej cerita. Jika penulis berjaya mengolah latar dengan menagih simpati pembaca tentang kepayahan guru di pedalaman, karya penulis akan lebih menarik. Namun sebagai karya percubaan, huraian penulis tentang latar pedalaman sudah boleh dipuji kerana berjaya bercerita tentang jauh lokasi, perjalanan jauh dan keadaan rumah guru. Namun, untuk tujuan penambahbaikan, penulis boleh mendalami tentang kepayahan guru yang berada di latar pedalaman menjangkaui masalah jarak dan keadaan rumah guru.
Dari segi plot cerita, penulis telah menyusun cerita secara kronologi (gaya plot biasa-biasa), bermula dengan penempatan sebagai seorang guru di pedalaman kemudian berkembang dengan perkenalan dengan Alex seterusnya berlaku kebakaran di rumah panjang. Kemuncak cerita apabila Alex berubah dan ingin berubah. Cerita ini ditutup dengan kesedaran Shahril tentang mulianya tugas seorang guru yang mengubah kehidupan seseorang. Penulis disarankan belajar tentang teknik-teknik plot agar dalam karya-karya yang akan datang, penulis tidak lagi menghasilkan perjalanan cerita terlalu lurus kronologinya.
Cerpen merupakan cerita pendek yang padat. Oleh itu penulis hendaklah fokus kepada tunjang cerita asal. Cerpen yang padat tidak akan memuatkan sampah-sampah cerita, iaitu huraian yang meleret tanpa kaitan kukuh dengan tunjang cerita. Penulis hendaklah sedar tentang selok-belok jalan ceritanya dan membuang cabang-cabang cerita tidak penting seperti memotong dahan-dahan pokok yang layu agar pokok cerita terus tumbuh segar menjulang tinggi, sebaliknya menggantikan cabang cerita yang kurang penting itu dengan mengukuhkan tunjang cerita; dalam konteks cerpen ini ialah kepayahan guru di latar pedalaman dan kegigihan Shahril mendidik Alex. Contoh cabang cerita yang kurang penting pula adalah tentang Alex dan sampah yang diulang-ulang. Juga cerita tentang perlumbaan kereta.
Teguran lain pula kepada penulis adalah untuk belajar memasukkan isu dan mesej secara senyap tanpa pembaca terasa mereka dikhutbah. Dalam hal ini penulis perlu mempelajari pelbagai teknik untuk memasukkan sesuatu ilmu, mesej dan isu secara tidak langsung seperti dialog, monolog dan pemerian.
Kesimpulannya, penulis cerpen ini sudah boleh bercerita tentang latar cerita yang penting bagi menyampaikan mesej utama cerita. Namun penulis boleh menambahkan lagi rincian tentang latar tersebut, khasnya tentang kepayahan guru. Mesej yang dibawa oleh cerpen ini sesuai dengan suasana Hari Guru yang mengajak pembaca menghayati pengorbanan guru dan mengajak guru-guru memperbaharui semangat dan cita-cita mulia mereka untuk mengubah manusia menjadi insan yang baik. Harapan saya dalam karya seterusnya, penulis bercerita lebih fokus dan berani mencuba tema-tema lain yang lebih mencabar.
Oleh Mohd Ali bin Salim (Munsyi Dewan)