

Oleh: Mohd Ali bin Salim (Munsyi Dewan)
TAHNIAH Syabel Hamzah, penulis cerpen “Aku Salah” yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lepas kerana boleh bercerita mengikut gaya mudah. Sekurang-kurangnya Syabel mampu menulis ceritanya dengan gaya sendiri. Syabel telah menyampaikan ceritanya kepada umum dengan bangunan cerita yang lengkap struktur binaan.
Seorang penulis walaupun masih baharu boleh bercerita menggunakan gaya tersendiri asalkan hasrat utama untuk menyampaikan isi cerita sampai dan boleh difahami oleh pembaca. Tidak perlu takut tentang cara penyampaian hasil tulisan kerana setiap penulis mempunyai gaya tersendiri asalkan alat penyampaian yang digunakan betul, iaitu penggunaan susunan kata-kata untuk menyampaikan maksud seperti keinginan penulis boleh difahami oleh pembaca.
Bimbingan penulisan ini lebih menekankan kepada hasil karya sastera genre cerpen. Apabila dikatakan karya sastera sudah tentu banyak perkara perlu ditimbang sebelum satu-satu gaya atau perkataan dipilih sesuai mendukung makna karya sastera. Dalam hal ini, pertimbangan perlu dibuat agar menghasilkan sesuatu yang indah, halus, tepat dan berkualiti. Maknanya menghasilkan sesuatu karya sastera sewajarnya kerja halus yang menghasilkan sesuatu yang halus mutunya dan jelas bukan sekadar ‘asalkan orang faham’. Juga, bukan sekadar bercerita tetapi cerita itu disusun dengan rapi dan mengandungi ilmu, mesej dan lebih tinggi jika mampu menyampaikan falsafah kehidupan.
Kekuatan cerpen “Aku Salah” ialah penulis menguasai subjek yang menjadi bahan cerita. Misalnya, yang ketara adalah pengukiran latar cerita tentang kehidupan seorang pelajar atau mahasiswa di pusat pengajian tinggi. Pada permulaan cerita, penulis telah menulis tentang suasana di kampus tanpa menyebut secara langsung latar tersebut;
MATAKU disuluh sinaran pagi, membuatku segera bangun dari ranjang. Aku mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu, bergegas ke bilik mandi. Suasana pagi yang sejuk tidak mematah semangatku untuk segera bersiap.
Sedang aku sibuk mengenakan baju, telefon bimbitku bergetar di atas meja.
“Cop tempat duduk.” Mesej dari Izzati muncul di skrin.
Aku tersenyum kecil. Izzati memang sering terlambat, dan aku sudah terbiasa menjadi penyelamat tempat duduknya. Hari Isnin yang malas, tidak memberi pilihan lain selain bergegas menuju ke kelas.
Melalui petikan di atas, penulis berjaya menghidupkan latar tempat berlangsungnya cerita tanpa penulis perlu menyebut nama tempat seperti sekolah atau universiti. Pembaca memahami latar yang diceritakan adalah tentang kehidupan seorang pelajar pada waktu awal pagi sebelum ke kuliah. Pembaca juga faham bahawa cerita itu adalah tentang seorang pelajar berdasarkan beberapa diksi yang dipilih, bertepatan menggambarkan latar tempat seperti “tuala tersangkut di belakang pintu”, “bilik mandi”, “baju”, “telefon bimbit”, “meja”, “tempat duduk” dan akhirnya kata penutup “kelas” telah mengesahkan tentang latar tersebut.
Selain daripada peralatan menunjukkan latar tempat, penulis juga berjaya menghidupkan latar tempat dengan gaya hidup watak yang berada di situ. Misalnya penulis bercerita tentang kehidupan seorang watak yang bergegas bangun pagi untuk hadir kuliah. Menarik juga diceritakan tentang “cop tempat duduk” yang menggambarkan latar budaya di kampus. Penulis memahami keadaan budaya hidup pelajar di kampus yang menandakan tempat duduk rakan untuk duduk berdekatan atau menyediakan tempat duduk kepada rakan yang lewat.
Penulis juga bercerita tentang kerja utama watak di latar yang dipilih. Dalam hal ini, penulis bercerita tentang tugas seorang pelajar yang belajar dan membuat tugasan kajian yang diarahkan oleh pensyarah seperti berikut;
“Korang dah ada tajuk tugasan ke? Dr. Azim nak hantar paling lewat jam 5 petang ni.” tanya Izzati yang duduk di sebelah.
“Eh, ada ke?” Aku sedikit terkejut.
“Kau dah ada kumpulan?” tanya izzati lagi.
“Tak ada, kenapa aku tak tahu pun pasal ni?” Aku terus membuka laptop dan memeriksa laman sesawang bahagian subjek Dr. Azim untuk mendaftar kumpulan tugasan.
Cerpen ini mula berkembang apabila watak utama diarah melakukan tugasan kumpulan. Timbul konflik dalam cerita tentang pemilihan ahli kumpulan. Tambahan pula kawan rapat tidak mahu sama kumpulan;
Malangnya, semua kumpulan sudah penuh. Perasaan cemas menyelubungi aku. Aku cuba berfikir siapa yang aku boleh ajak, tapi kebanyakan rakan yang lain dah ada kumpulan. Izzati pun kelihatan tidak berminat. Dia pernah berkata yang dia tak mahu sekumpulan dengan aku sebab takut nanti tak buat kerja—katanya aku asyik bercakap!
Petikan di atas menunjukkan bahawa penulis sudah tahu membina konflik dalam cerita. Konflik menghidupkan dan akan mengaktifkan cerita. Tanpa konflik, cerita tidak menarik dan mendatar. Oleh yang demikian, kekuatan penulis ini adalah sudah mengetahui struktur binaan cerita. Konflik ini ditambahkan lagi dengan kehadiran watak yang mendatangkan konflik dalaman kepada watak utama yang menjadi sebab- musabab penting perjalanan cerita. Watak Ayu digambarkan seorang yang aneh dan tidak disukai oleh rakan sekelas juga. Kehadiran Ayu telah merancakkan lagi konflik seperti berikut;
“Kumpulan kita bukan ada empat orang ke? Siapa seorang lagi?” tanyaku, cuba mendapatkan kepastian.
“Ayu…” jawab Iman dengan kasar. “Dia tu memang selalu lambat. Entah-entah tak datang langsung. Kau tak dengar pasal kumpulan Freddie semester lepas? Ayu langsung tak buat tugasan. Dr. Azim tahu, terus dia gagalkan. Padan muka.”
“Betul tu,” sampuk Faizal. “Kita orang pun dah mula fikir macam kita berdua je yang akan buat tugasan ni. Dah la Dr. Azim nak 35 muka surat. Memang mampuslah. Sebab tahu Ayu takkan buat, tapi sekarang kau dah sertai kumpulan ni, boleh bahagi-bahagi tugas.”
Petikan di atas menjelaskan cara penulis menghidupkan konflik dalam cerita. Kehadiran Ayu dalam kumpulan tidak disukai oleh ahli kumpulan serta menimbulkan pelbagai andaian dan rasa curiga watak utama. Konflik dalaman watak utama diperkembangkan oleh penulis seperti berikut;
Dalam perjumpaan-perjumpaan lepas, kami telah mengagihkan tugasan mengikut kemampuan masing-masing. Bahagian yang paling mudah—abstrak dan pengenalan—telah kami berikan kepada Ayu. Tugasan ini berbentuk kajian dan kami fikir bahagian itu sesuai untuknya kerana tidak memerlukan analisis yang mendalam. Namun, ketika aku memeriksa bahagiannya, aku mendapati dia belum lagi menulis apa-apa. Laman dokumen itu kosong, seolah-olah langsung tidak disentuhnya. Aku mula risau—adakah dia sengaja menguji kesabaran kami, atau adakah dia benar-benar tidak mahu berusaha?
Konflik itu menjadi puncak apabila watak utama marah dan menyatakan kemarahannya kepada Ayu. Penceritaan konflik ini tersusun mengikut agenda penulis. Kemarahan disampaikan melalui mesej dan tidak mendapat reaksi segera semakin membebankan konflik dalaman seperti berikut;
Perasaan marah mula mendidih di dada, tetapi aku cuba mengawalnya. Aku segera menghantar mesej kepadanya untuk bertanya, “Ayu, kenapa bahagian kamu masih kosong? Bukan cukup mudahkah bahagian itu? Kau tak hadir masa perjumpaan pertama, tajuk kita tak la susah sangat. Tahu secara umum pun dah cukup untuk buat. Kenapa tak buat?”
Sehari berlalu. Mesej yang kukirim hanya dibalas dengan dua tanda biru. Tidak ada respon, tidak ada penjelasan.
Konflik itu dileraikan oleh penulis melalui watak Izzati. Izzati telah menceritakan keadaan sebenar tentang Ayu yang menjadi punca konflik. Cerita Izzati telah mengubah pandangan watak utama daripada terus berkonflik. Dia simpati dan menjadi kawan yang membantu Ayu. Keadaan ini telah mengubah konflik dalaman watak utama dan cuba bertindak baik terhadap Ayu.
“Aku nampak dia ada baby bump. Tapi sebab badan dia besar, tak berapa nampak sangat. Suami dia pun selalu tunggu dia kat lobi fakulti setiap hari,” Izzati terus berkongsi dan aku makin lama makin bersimpati dengan keadaan Ayu. Ternyata hidupnya tidak semudah yang disangkakan.
“Baru-baru ini, ibunya meninggal dunia. Dia pun bukan orang yang senang,” kata Izzati.
Peleraian kepada konflik ini telah diselesaikan oleh penulis melalui kesanggupan watak utama membantu Ayu hinggalah tugasan kumpulan mereka dapat disiapkan.
Keesokan harinya, aku tekad untuk membantu Ayu. Aku mula menghubunginya, memujuknya agar bersama-sama menyiapkan tugasan yang masih berbaki. Kami berjumpa di perpustakaan dan buat pertama kalinya, aku dapat melihat wajah letihnya lebih dekat, wajah seorang yang berjuang di sebalik diamnya. Aku membantu menyusun bahagiannya mengikut format, mengajar mana yang perlu diubah dan disunting. Ayu, dengan rasa syukur yang terpancar di wajahnya, memberi sepenuh komitmen. Bahagian Ayu kini siap sepenuhnya.
Berdasarkan beberapa kutipan pendahuluan, konflik dan peleraian cerpen, karya ini menunjukkan bahawa penulis sudah memahami kemahiran bercerita. Penulis berjaya menghidupkan latar, watak, konflik dan seterusnya menyelesaikan konflik menjadikan cerpen ini lengkap seperti berdirinya sebuah bangunan cerita.
Sesuatu karya itu bermakna kerana mesej dan isinya yang bermanfaat kepada masyarakat dengan membangun pemikiran, adab dan budaya. Dalam cerpen ini terdapat mesej yang disampaikan oleh penulis, misalnya kita hendaklah lebih memahami dan membantu orang lain agar menjadi insan terpuji dan mengelak orang yang susah terus terbeban. Mesej ini disampaikan oleh penulis melalui dialog Izzati seperti berikut;
“Kalau boleh, fahamilah keadaannya. Daripada mengeji, lebih baik kita menghulurkan bantuan. Pasti sukar baginya mengawal emosi apabila satu kelas membencinya tanpa mengetahui apa yang dia lalui, lebih lagi dia sekarang dah berbadan dua.” kata Izzati, dengan suara yang sedikit lembut, seolah-olah meminta aku untuk memberi peluang kedua kepada Ayu.
Selain itu, pada bahagian akhir cerita, penulis bersuara melalui watak utama tentang mesej kehidupan agar kita tidak menilai sesuatu daripada luaran sahaja sebaliknya hendaklah meneliti sesuatu kejadian daripada punca sebenar agar penilaian itu lebih tepat dan adil serta membantu menyelesaikan masalah.
Mereka sedikit terkejut, tapi aku tidak kisah. Melihat Ayu tersenyum buat pertama kalinya setelah tugasan selesai, aku merasakan satu kelegaan yang sukar digambarkan. Ternyata, menilai seseorang dari luaran memang tidak adil. Setiap orang ada cerita masing-masing, di sebalik mata yang terlihat tenang serta kata-kata yang tidak terungkap, ada jeritan yang meraung penat, dia letih tanpa rehat. Aku belajar memberi ruang untuk memahami, kerana ia lebih bermakna daripada sekadar menghakimi.
Penambahbaikan
Meskipun cerpen ini sudah lengkap berdiri sebagai sebuah cerita, namun, bagi menghasilkan sebuah karya sastera yang halus, indah, berseni dan bermakna; penulis perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara, khususnya alat penyampaian, iaitu penggunaan perkataan dan ayat.
Karya yang terbaik semestinya ialah hasil kerja yang halus setelah melalui penelitian rapi. Dalam hal ini, merujuk penggunaan perkataan yang sesuai dan tepat, lebih-lebih lagi apabila karya dihantar kepada penerbit tertentu, maka sewajarnya penulis sudah meyakini bahawa naskhah tersebut memenuhi aspek-aspek tertentu yang dikehendaki penerbit misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penulis yang peka dengan hal ini akan mengambil berat soal penggunaan bahasa Melayu. Elakkan penggunaan bahasa pasar dan penggunaan bahasa Inggeris yang mempunyai kata dalam bahasa Melayu. Karya yang indah dan berseni akan mengelakkan sesuatu yang mencacatkan karyanya termasuklah penggunaan bahasa pasar, misalnya;
“Korang dah ada tajuk tugasan ke? Dr. Azim nak hantar paling lewat jam 5 petang ni.” tanya Izzati yang duduk di sebelah.
Penggunaan bahasa pasar ‘korang’ mencacatkan kesenian pengguna bahasa dalam teks. Begitu juga dengan penggunaan kata yang tidak tepat misalnya kata sendi ‘ke’ menjadi kata tanya.
Dari segi gaya penceritaan, penulis perlu fokus dengan tema utama cerita dan mengelak cerita cabang yang berjela-jela. Sesuai dengan makna cerpen, iaitu cerita pendek dan padat, maka penulis hendaklah menyunting dengan membuang bahagian-bahagian yang tidak perlu dipanjangkan. Dalam hal ini penulis sudah semestinya lebih mengerti cerita utama atau bahagian yang perlu dipanjangkan dan meringkaskan bahagian yang kurang penting atau membuang bahagian tersebut.
Dalam cerpen ini penulis banyak menggunakan dialog menyebabkan penerangan yang berjela-jela tentang sesuatu perkara yang mungkin hal berulang. Penulis boleh cuba menggunakan teknik lain seperti pemerian dan monolog dalaman dengan mempelbagaikan cara penceritaan dan tidak semestinya cerita dengan dialog sahaja.
Kesimpulannya, penulis telah berjaya menyiapkan sebuah cerpen yang lengkap strukturnya dengan memiliki elemen-elemen asas dalam cerpen seperti watak, latar, konflik, dialog dan peleraian cerita. Untuk penambahbaikan, penulis perlu meneliti aspek penggunaan bahasa agar lebih halus dan mengelakkan perkataan-perkataan yang boleh mencacatkan sebuah cerita yang sudah baik strukturnya. Penulis disarankan mencuba tema lebih mencabar tentang kehidupan dan falsafah kehidupan agar meningkatkan kreativiti penulis dan lebih bermakna sesuatu nukilan karya itu untuk faedah masyarakat.