
PAKAN: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Parlimen yang diwakilinya.
Menurut beliau, pendidikan merupakan asas penting untuk masa depan anak-anak di Julau, dan beliau berharap para pelajar di kawasan itu akan terus berusaha menjadi individu berjaya dalam bidang masing-masing.
“Saya juga berharap para pelajar kita akan melanjutkan pelajaran ke universiti yanh dimiliki oleh kerajaan Sarawak untuk mendapatkan pendidikan secara percuma pada tahun depan.
“Semoga ramai dalam kalangan pelajar kita di Julau akan akan tampil sebagai seorang yang berjaya dan sentiasa mempunyai daya saing yang tinggi untuk mencapai cita-cita melalui pendidikan seterusnya membantu keluarga dan masyarakat,” katanya.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan perasmian pintu gerbang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sugai, baru-baru ini.
Majlis tersebut merupakan anjuran PIBG SK Sungai Sugai.
Pada majlis sama, Larry Sng telah menyumbangkan sebanyak RM19,000 kepada SK Sungai Sugai untuk membeli TV pintar dan juga untuk menjalankan aktiviti tahunan.
Selain itu, beliau turut menyumbang sebanyak RM2,000 kepada PIBG Nanga Buku dan sejumlah RM5,000 kepada Persatuan Guru Besar Julau.
Turut hadir Guru Besar SK Sungai Sugai, Jampong Dasi dan Pengerusi PIBG SK Sungai Sugai, Sudin Labang.
Oleh Earl Anek