
JULAU: Industri berasaskan kraftangan perlu diwujudkan di Julau bagi merancakkan ekonomi tempatan dan memanfaatkan kepakaran komuniti setempat, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Katanya, kini ramai orang yang mahir dalam membuat barangan seperti kraftangan sudah tiada dan generasi muda kurang mempelajarinya.
“Seperti di Kapit 20 tahun dahulu, terdapat ramai orang yang mahir membuat pua kumbu, baju burung dan lain-lain hasil kraftangan.
“Sekarang, kita jarang melihat mereka melakukan kerja ini kerana mereka yang mahir sudah tiada dan ini membawa kepada kerugian,” katanya.

Larry yang juga Pengerusi Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Kreatif (PKK) di Rumah Jana, Batu Matop, baru-baru ini.
Tambahnya, situasi yang sama turut berlaku di Julau apabila beliau tidak lagi melihat kampung yang aktif menghasilkan pua kumbu.
“Oleh itu, jika boleh, kraftangan ini perlu dilakukan secara berkala agar ingatan dan pengetahuan itu kekal dan wajar diwariskan kepada generasi muda.
“Mengenai pasaran penjualan produk kraftangan, kita boleh mencari pasaran terutamanya sekarang ada cara untuk menjual secara dalam talian.
“Contohnya, dulu kita buat kek untuk diri sendiri, tapi sekarang dah boleh jual di pasaran dalam talian, sehingga ada yang telah menjadi jutawan,” katanya.
Katanya, semasa pandemik COVID-19, sesetengah orang berniaga bermula dari dapur untuk membuat makanan sehingga mampu membuka kilang kerana sambutan yang baik.
“Inilah menjadi sumber ilham kita dalam penghasilan kraf yang mendapat sambutan baik rakyat dalam dan luar negara.
“Dunia semakin berkembang dan menjual dalam talian sangat mudah dilakukan.
“Oleh itu, saya menggalakkan penduduk di Julau mempelajari kraftangan dan menggunakan platform digital untuk mengembangkan pasaran mereka sendiri,” katanya lagi.
Larry turut menyumbangkan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jana, Batu Matop.
Oleh Earl Anek