
JULAU: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, menggesa ibu bapa supaya terus menghantar anak-anak mereka ke sekolah berhampiran rumah panjang masing-masing bagi memastikan institusi pendidikan luar bandar kekal berdaya saing dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, tindakan segelintir ibu bapa memindahkan anak-anak mereka ke sekolah di bandar atas faktor pekerjaan telah menyebabkan ketidakseimbangan bilangan murid antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar.
“Keadaan ini menyebabkan sekolah di bandar menampung jumlah murid yang jauh lebih ramai, manakala terdapat sekolah luar bandar yang berdepan kekurangan murid sehingga menjejaskan pembangunan sekolah.
“Di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Alphonsus, terdapat lebih 20 murid dalam satu kelas, tetapi terdapat juga sekolah luar bandar lain yang menghadapi masalah kekurangan murid sehingga menjejaskan pembangunan sekolah,” katanya ketika berucap pada Hari Permuafakatan Pendidikan dan Kuliah Kesedaran Ibu Bapa-Guru di SK St. Alphonsus, baru-baru ini.
Beliau berharap ibu bapa dapat mempertimbangkan semula keputusan menghantar anak-anak mereka ke sekolah di bandar dan terus memberi peluang kepada mereka memperoleh pendidikan di sekolah berhampiran tempat tinggal.
“Pengalaman hidup berdikari sejak usia muda mampu membentuk sahsiah, disiplin dan keyakinan diri anak-anak dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.
Larry turut berkongsi pengalamannya apabila dihantar oleh ibu bapanya ke England untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh ketika berusia 16 tahun, manakala adiknya memasuki sekolah berasrama penuh pada usia 13 tahun.
Katanya, keputusan ibu bapanya ketika itu bukan disebabkan kurangnya kasih sayang terhadap anak-anak, sebaliknya bertujuan memastikan mereka memperoleh pendidikan terbaik, di samping mempelajari nilai berdikari dan kemahiran mengurus diri sejak usia muda.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa supaya terus memberikan kepercayaan kepada guru di sekolah luar bandar yang disifatkannya berkeupayaan menyediakan pendidikan berkualiti setanding dengan sekolah lain.
“Sokongan berterusan daripada ibu bapa amat penting bagi memastikan sekolah luar bandar terus berkembang, mempunyai bilangan murid yang mencukupi dan mampu melahirkan generasi berilmu yang akan menyumbang kepada pembangunan komuniti pada masa hadapan,” katanya.
Larry turut menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada SK St. Alphonsus bagi membantu sekolah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada warga sekolah.
Oleh Earl Anek



