
PETRA JAYA: Larian Warisan Separuh Maraton Kuching 2025 bakal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM54,600 kepada pemenang bagi semua kategori, selain barangan eksklusif seperti baju rasmi, pingat dan baju penamat khas.
Acara bertaraf antarabangsa itu dijadual berlangsung pada 27 Julai 2025 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan telah menarik penyertaan seramai 3,200 peserta dari dalam dan luar negara setakat ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara berkenaan bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah turut mengangkat Kuching sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat global.
“Larian ini memperkenalkan keindahan serta keunikan Kuching kepada peserta luar negara dan seiring dengan usaha Sarawak memperkukuh kedudukannya dalam pelancongan sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Larian Warisan Separuh Maraton Kuching 2025 di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa enam peratus daripada jumlah penyertaan terdiri daripada peserta antarabangsa yang mewakili 22 buah negara antaranya Jepun, Australia, Kenya, Korea Selatan, Jerman, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“Jumlah peserta dijangka terus meningkat menjelang hari perlumbaan, sekali gus memberi kesan positif terhadap sektor hospitaliti, makanan dan peruncitan di bandar raya ini.
“Dua kategori utama pertandingan iaitu Larian Separuh Maraton 21KM dan 10KM telah menerima pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS) seterusnya meletakkan Kuching dalam kalendar sukan larian antarabangsa,” tambahnya.
Penganjuran acara ini adalah hasil usaha City Jogger’s Club dengan sokongan pelbagai penaja korporat yang menunjukkan komitmen komuniti dalam menjayakan acara berskala besar.
Reka bentuk laluan larian memberi tumpuan kepada tarikan ikonik bandar raya Kuching termasuk seni jalanan, warisan seni bina dan landskap hijau bagi menawarkan pengalaman baharu yang menyerlahkan identiti tempatan kepada peserta khususnya pelari luar yang pertama kali menyertai acara ini di Sarawak.
Oleh Amanda L