
MIRI: Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal berikutan beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup dan dilencong sempena penganjuran Larian Separuh Maraton 2026, esok.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, acara anjuran Jom Run itu akan berlangsung bermula 3.00 pagi hingga 10.00 pagi, melibatkan sekitar 3,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau, larian itu akan bermula dan berakhir di Bangunan Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jalan Bandaraya, dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu larian separuh maraton 21 kilometer (km), larian 10km dan ‘Fun Run’ 5km.

Katanya, bagi memastikan kelancaran program, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Miri akan melaksanakan penutupan serta lencongan di beberapa lokasi, dengan bantuan anggota RELA.
Antara laluan yang akan digunakan peserta ialah Jalan Bandaraya, Jalan Marina Utama, Bulatan Pullman, Jalan Marina 1, Jalan Marina 3, Jalan Brighton, Bulatan Marriott, Jalan Tanjung, Jalan Luak dan persimpangan lampu isyarat Jalan Aru sebelum kembali ke Jalan Bandaraya sebagai penamat.
Sementara itu, lokasi yang akan mengalami penutupan atau lencongan termasuk Bulatan Pullman, persimpangan lampu isyarat Jalan Marina 1/Jalan Bendahara, Jalan Marina 3/Jalan Marina Utama, Jalan Marina 5/Jalan Brighton, Jalan Brighton/Jalan Marina Utama, Bulatan Marriott, persimpangan Jalan Tanjung, Jalan Luak, Masjid Luak dan Jalan Aru.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan anggota polis yang bertugas selain menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Airport–Miri serta mengelakkan melalui Jalan Luak, Jalan Brighton dan Jalan Marina Utama bagi mengurangkan kesesakan.
Peserta larian pula dinasihatkan hadir lebih awal dan meletakkan kenderaan di kawasan parkir Marina Phase 1 atau Marina Phase 2. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada BSPT IPD menerusi talian 085-430479.
Oleh Liong Chai Ling