Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Larian Separuh Maraton 2025 pacu gaya hidup sihat dan komuniti harmoni
  • SUKAN

Larian Separuh Maraton 2025 pacu gaya hidup sihat dan komuniti harmoni

Utusan Sarawak 2 days ago
PELEPASAN PESERTA….Pelepasan peserta untuk kategori 5KM Larian Santai oleh Datuk Ding Kuong Hiing.

SARIKEI: Larian Separuh Maraton Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang 2025 melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 1,827 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Acara 21KM Separuh Maraton diadakan bermula di kawasan mercu tanda ikonik tersebut disertai oleh seramai 422 peserta. 

Manakala acara 10 kilometer (km) disertai 520 peserta dan 5KM Larian Santai yang menarik minat 885 peserta diadakan bermula di luar Dewan Suarah Sarikei iaitu di Jalan Nyelong dan Jalan Market. 

Kehadiran peserta yang begitu ramai mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap aktiviti kecergasan dan gaya hidup sihat.

MERIAH…..Senamrobik diadakan dengan meriah sebelum pelepasan peserta kategori 5KM.

Sebelum pelepasan peserta kategori 5KM, acara senamrobik diadakan untuk memanaskan badan. 

Aktiviti senamrobik disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Pegawai Tadbir Khas kepada Datuk Len Talif Salleh, Datuk Mazlan Mohamad Salleh, Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong dan Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin. 

Kehadiran tokoh masyarakat dan pegawai kanan kerajaan dalam senamrobik memberi mesej jelas bahawa acara seumpama ini mampu menjadi jambatan penyatuan komuniti melalui aktiviti riadah yang sihat. 

Ia turut memperlihatkan keprihatinan kepimpinan tempatan terhadap kesejahteraan rakyat.

Selain menggalakkan gaya hidup sihat, penganjuran maraton ini juga menyemarakkan semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan komuniti setempat, di samping membuka ruang interaksi lebih mesra antara pemimpin, masyarakat dan peserta dari luar kawasan.

Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang yang menjadi lokasi acara turut diperkenalkan sebagai ikon pelancongan baharu dan mercu tanda pembangunan infrastruktur di Sarikei. 

Pemandangan menarik di sekitar jambatan memberikan pengalaman unik kepada para peserta yang datang dari dalam dan luar Daerah Sarikei.

Kedatangan peserta dari luar Daerah Sarikei turut memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat, terutama dalam sektor perhotelan, makanan, pengangkutan, dan peruncitan.

Ini membuktikan bahawa acara sukan seperti ini mampu memberikan impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

Sokongan daripada penaja utama juga menjadi tunjang kekuatan penganjuran acara ini.

Penaja utama bagi penganjuran Separuh Maraton Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang serta Penaung Jawatankuasa Kerja Separuh Maraton, Datuk Len Talif Salleh.

Turut serta sebagai penaja utama ialah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Ta Ann Holding Berhad, Dato Wong Kuo Hea, Pengerusi WHS Holdings Sdn. Bhd, Dato Sri Wahab Dollah, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei serta ADUN Repok yang juga Penaung Jawatankuasa Kerja Separuh Maraton, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, Datu Muhamad Yakup Kari.

Komitmen padu pelbagai pihak menunjukkan bahawa acara ini bukan sekadar pertandingan larian, sebaliknya platform yang menyatukan masyarakat dan memperkukuh semangat kebersamaan melalui aktiviti sihat.

Dengan sambutan yang begitu menggalakkan, Separuh Maraton Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang 2025 diyakini berpotensi untuk diteruskan sebagai acara tahunan yang mampu menarik lebih ramai peserta dari seluruh negeri mahupun peringkat antarabangsa.

Oleh Earl Anek

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Maraton pertama di Sarikei tarik 1,827 peserta, promosi jambatan ikonik
Next: Eze mampu cipta magis misi kejuaraan Arsenal – Arteta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.