
SARIKEI: Larian Separuh Maraton Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang Sarikei 2026 bakal diadakan pada 23 Ogos 2026 bermula seawal 4.00 pagi hingga 10.00 pagi dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000 menanti para peserta.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran acara tersebut merupakan satu inisiatif strategik yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di wilayah Lembah Rajang.
“Berteraskan tema ‘Bridging Cultures, Our Run’, program ini mengangkat peranan sukan sebagai medium penyatuan komuniti secara inklusif dan harmoni.

“Acara ini turut mengangkat signifikan jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang sebagai simbol penyatuan yang menghubungkan komuniti di kedua-dua belah Batang Rajang, sekali gus memperkukuh jaringan sosial, ekonomi dan budaya yang telah sekian lama terjalin di wilayah ini.
“Program ini menyasarkan penyertaan seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar Sarawak, melibatkan kategori 21 kilometer (Half Marathon), 10 kilometer dan lima kilometer Fun Run/Walk,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media Larian Separuh Maraton Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang Sarikei 2026 yang diadakan di Dewan Serbaguna Aras 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Katanya, penganjuran kali kedua acara tersebut dijangka mampu memperkukuh imej Bahagian Sarikei sebagai destinasi acara sukan dan pelancongan yang berpotensi di peringkat nasional di samping merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui kehadiran peserta dari pelbagai kawasan.
“Sebagai tarikan utama penganjuran kali kedua ini, hadiah yang ditawarkan kepada para pemenang ini berjumlah keseluruhan RM60,000.
“Ia sekali gus meningkatkan daya saing serta menarik minat penyertaan dalam kalangan komuniti pelari profesional dan amatur.
“Penganjuran program ini selaras dengan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan wilayah secara seimbang, termasuk usaha mempromosikan kesejahteraan rakyat, memperkukuh integrasi sosial serta merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, seiring dengan aspirasi pembangunan wilayah Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran secara dalam talian melalui platform ‘GoogleForm’ dan ‘Ticket2U’ atau secara manual di The Sport Shop Sarikei dan Pejabat Daerah Sarikei.
“Tempoh pendaftaran dibuka bermula 13 April sehingga 31 Julai 2026.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pihak penganjur iaitu Pengerusi Kelab Sukan Rekreasi Uni Sarikei, Wong Khung Kong di talian 016-8096279 dan Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini di talian 084-655371 atau melalui saluran media sosial rasmi program Facebook Lembah Rajang dan Facebook Unisport club.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab; Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah yang juga ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dan ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Oleh Earl Anek