
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menzahirkan penghargaan kepada Saberkas Cawangan Kabong atas penganjuran Larian Santai Merdeka Saberkas 2025 yang berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, hari ini.
Beliau berkata, program sebegini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat setempat.
“Penganjuran aktiviti berbentuk kecergasan dan kekeluargaan memberi banyak manfaat, bukan hanya dari segi kesihatan fizikal, tetapi juga melahirkan masyarakat yang bersatu padu serta berjiwa cintakan tanah air,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut pagi tadi.
Chee Kadir turut menegaskan bahawa belia harus sentiasa bergiat aktif dalam menjayakan program sedemikian kerana ia membantu membentuk generasi yang lebih sihat, berdaya saing serta memiliki jati diri yang kukuh.

Seawal 5.45 pagi, suasana di Kabong Town Square sudah meriah dengan kehadiran hampir 300 peserta yang mendaftar untuk menyertai larian tersebut.
Program anjuran Saberkas Cawangan Kabong ini merupakan julung kali diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, sekali gus menambah warna dalam kalendar aktiviti komuniti di kawasan ini.
Acara dimulakan dengan sesi senamrobik yang dikendalikan oleh jurulatih tempatan sebagai aktiviti pemanasan badan, sebelum peserta dilepaskan secara rasmi oleh ADUN Kabong sendiri.
Selain larian, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah sebagai tarikan tambahan, dan tuah nyata berpihak kepada Karsalina Bakar dari Kabong apabila nombor gilirannya melayakkan beliau membawa pulang hadiah utama berupa televisyen 50 inci.
Kehadiran hampir 300 peserta itu telah membuktikan sokongan masyarakat terhadap program berbentuk gaya hidup sihat semakin meningkat, selain menzahirkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Setiausaha Eksekutif Saberkas Negeri Sarawak Iszuan Haroni, Pengerusi Saberkas Cawangan Kabong Mohamad Firdaus Shamsudin, Penghulu Rahman @ Dom Kapok serta tetamu jemputan lain.
Oleh Adi Safarman