
SARIKEI: Larian Perpaduan 7.0 mencatat penyertaan memberangsangkan apabila 2,345 peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori larian, hari ini.
Kategori tersebut adalah lelaki terbuka 10 kilometer (km), wanita terbuka 10 km serta kategori 3 km yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Hadir melakukan pelepasan peserta bagi kategori larian sejauh 10 km ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh.
Sementara itu, pelepasan peserta bagi kategori 3 km dilakukan oleh Pemanca Chan Phan Chan selaku wakil kepada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Ketika ditemui media di hadapan pentas pekarangan Dewan Suarah Sarikei selepas penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kategori lelaki 10 km, Len Talif berkata para peserta yang menyertai Sarikei Unity Run 7.0 kali ini datang dari Bahagian Sarikei, Saratok, Mukah, Sibu, Serian dan sebagainya.

“Dari segi penglibatan, kita lihatlah dari segi peserta….dari yang muda kepada yang tua.
“Jadi, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pejabat Residen Sarikei dan Pejabat Daerah Sarikei yang menganjurkan Sarikei Unity Run pada tahun ini.
Insya-Allah, inilah satu-satunya persiapan awal untuk kita mengadakan Sarikei Maraton Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang pada 2026,” katanya.

Larian Perpaduan 7.0 merupakan anjuran tahunan Pejabat Daerah Sarikei yang bertujuan memupuk perpaduan komuniti serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada edisi kali ini, penganjuran acara tersebut turut diserikan dengan Pesta Krismas dan Sarapan yang diadakan buat julung kalinya, selain penglibatan sebanyak 60 gerai yang memeriahkan lagi suasana perayaan Krismas yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Turut hadir Residen Sarikei, Michael Ronnie Langgong, dan Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan.
Oleh Earl Anek