MUKAH: Fazrul Heri muncul juara kategori Lelaki Terbuka 10 kilometer (10KM) pada Larian N.58 Saberkas 2026 yang berlangsung di sini, semalam.
Rizqi Daylan Masni menduduki tempat kedua, manakala Nulai Bandang di tempat ketiga.
Larian berkenaan menyusuri Batang Gigih dan merentasi tiga kampung, dengan peserta perlu melalui enam jambatan yang mencabar seperti laluan berbukit.
Bagi kategori Wanita Terbuka 10KM, Esmeralda Ellsa Johari muncul juara, diikuti Masilla Johi di tempat kedua dan Sainolrisa Melikeng di tempat ketiga.

Kategori Lelaki Veteran 10KM pula dimenangi Fernandal Susek, manakala Khusairi Julaihi dan Boniface Nipih masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Kiew Sui Hua muncul juara kategori Wanita Veteran 10KM, diikuti Winifred Joseph Teoh di tempat kedua dan Julita Amis di tempat ketiga.
Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi keempat-empat kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300, RM200 dan RM100 berserta medal.
Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kesembilan turut menerima hadiah wang tunai RM50 berserta medal.

Selain acara 10KM, program itu turut menampilkan Larian Santai 5KM dengan juara menerima RM250, tempat kedua RM200 dan tempat ketiga RM150, manakala peserta tempat keempat hingga kesembilan menerima RM50.
Jalan Santai 3KM turut diadakan, dengan keseluruhan 290 peserta menyertai program berkenaan.
Program anjuran Saberkas Cawangan Balingian dengan kerjasama Unit Saberkas Kampung Teh (UNITEH) sebagai pengelola itu melibatkan enam kategori, iaitu Lelaki Terbuka 10KM, Wanita Terbuka 10KM, Lelaki Veteran 10KM, Wanita Veteran 10KM, Larian Santai 5KM dan Jalan Santai 3KM.

Pelepasan larian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, pada 6.00 pagi dari Dewan Serbaguna Kampung Tabo, Mukah, semalam.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli; Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip; dan Pengerusi Unit Saberkas Kampung Teh (UNITEH), Brezerovean Boniface.
Oleh Jiku Juguong



