
TATAU: Acara Larian Malaysia Peringkat Daerah Tatau sempena Program Jiwa@Komuniti MADANI bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat setempat menerusi semangat kesukanan dan kecintaan terhadap negara.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuktikan rakyat Malaysia mampu bergerak seiring dalam mencapai kejayaan.
“Apabila kita berlari bersama, kita membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu bergerak bersama untuk mencapai kejayaan.
“Tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni tahun ini juga mengingatkan kita bahawa pembangunan negara perlu seimbang antara kemajuan infrastruktur dan kebajikan rakyat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Pasar Lama Tatau hari ini.
Beliau menegaskan, semangat kebersamaan, saling menghormati dan perpaduan adalah asas untuk membina masa depan yang lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar seperti Tatau yang memiliki potensi besar untuk maju.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Tatau, Donny Minggu Ling berkata, penganjuran larian tersebut bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan HKHM setiap tahun.
“Larian ini melibatkan penyertaan kira-kira 200 orang merangkumi pelbagai kaum, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil agensi kerajaan dengan jarak larian sekitar lima kilometer,” katanya.
Mohd Haris Haikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau yang muncul sebagai pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM300.
Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Florence Tampang, wakil Ketua Polis Daerah Tatau, ASP Kisam Wa dan Pemanca Gerosen Jubin.
Oleh Carolyne Utih