
KUCHING: Larian Isthmus Sarawak Energy 2025 bakal mencipta sejarah tersendiri dengan mencatat lebih 5,800 penyertaan, sekali gus menjadikannya edisi terbesar sejak penganjuran sulungnya pada 2013.
Acara yang akan berlangsung pada 10 Ogos di Isthmus Kuching itu turut memperkenalkan kategori baharu Maraton Penuh 42 kilometer yang disertai lebih 400 pelari. Ia juga menampilkan kategori Separuh Maraton 21KM, Larian Kompetitif 10KM dan Larian Santai 5KM.
Buat pertama kalinya, laluan bagi Maraton Penuh dan Separuh Maraton telah diperakui oleh Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS), sekali gus mengangkat taraf acara itu ke peringkat antarabangsa.
Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM185,500 ditawarkan, manakala semua hasil kutipan yuran pendaftaran akan disalurkan kepada badan kebajikan.
Pegawai penguat kuasa dan marshal lalu lintas akan ditempatkan di semua lokasi strategik bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran acara.
Jalan dari Jambatan Sungai Isthmus ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) akan ditutup sepenuhnya bermula 8.00 malam pada 9 Ogos dan dibuka semula pada 10.00 pagi, 10 Ogos nanti.
Penutupan separa juga akan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa laluan utama sekitar bandar, termasuk Jalan Keriung, Jalan Berlian, Jalan Merbau, Jalan Pelabuhan, Jalan Datuk Marican Salleh, Jalan Kwong Lee Bank, Jalan Pending, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, Jalan Padungan, Jalan Abell, Jalan Tunku Abdul Rahman, dan Jalan Main Bazaar.
Turut terlibat ialah Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Badruddin, Jalan Satok, Jalan Kulas, Jalan Haji Taha, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Jalan Merdeka, Jalan Semariang, Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Sallehuddin dan Jalan Astana.
Penutupan ini akan dibuka secara berperingkat mengikut perkembangan larian dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 10.00 pagi pada hari yang sama.
Orang awam dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.
Bagi kemudahan peserta, Sarawak Energy turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma antara Hotel Riverside Majestic dan Menara Sarawak Energy.
Bas akan disediakan mengikut jadual pelepasan mengikut kategori masing-masing dan perjalanan pulang akan bermula selepas majlis penutup.
Gabungan bas elektrik dan bas sewa khas akan digunakan bagi menyokong pengangkutan yang lebih cekap dan lestari.