
KUCHING: Acara sulung Larian Amal Hari Malaysia PERKATA 2025 berjaya menghimpunkan lebih 600 peserta sekali gus mengumpul dana berjumlah RM24,000 bagi menyokong operasi Sekolah Khas PERKATA Sarawak.
Naib Presiden PERKATA Sarawak, Mohamad Jaberden Nasir berkata, penganjuran ini bukan sekadar aktiviti larian, sebaliknya platform menyatukan komuniti untuk memahami serta menerima anak-anak berkeperluan khas sebagai sebahagian daripada masyarakat.
“Tema Memperkasa Setiap Anak untuk Bersinar jelas menggambarkan bahawa setiap kanak-kanak, meskipun berdepan kekangan fizikal atau intelektual, berhak diberi peluang untuk bersinar,” katanya ketika berucap merasmikan acara tersebut, hari ini.

Sekolah Khas PERKATA Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1981 menerima pelajar daripada pelbagai kumpulan kurang upaya intelek termasuk Sindrom Down, autisme serta kecederaan otak.
Institusi itu menekankan persekitaran ceria dan penuh kasih sayang agar murid dapat berkembang dari segi fizikal, intelektual, sosial dan emosi, di samping mempelajari kemahiran bahasa, kognitif, motor halus dan asas kehidupan.
Dalam pada itu, Mohamad Jaberden menzahirkan penghargaan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng yang hadir sebagai tetamu kehormat serta memberi sokongan padu terhadap usaha PERKATA.
Sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, PERKATA Sarawak amat bergantung kepada sumbangan orang ramai dan pihak korporat, selain geran kerajaan, untuk memastikan kelangsungan sekolah.
Sokongan kewangan serta khidmat sukarela amat diperlukan agar kanak-kanak istimewa ini dapat terus belajar dan berkembang dalam suasana yang prihatin.
“Marilah kita bersama-sama menyokong PERKATA Sarawak agar anak-anak berkeperluan khas dapat membesar dan menimba ilmu dalam persekitaran yang penuh kasih sayang. Bersama-sama kita mampu memberi impak besar kepada masyarakat,” tambahnya.