
MIRI: Program Larian Amal Krokop 2025 anjuran Pertubuhan Dusum Khyenpa Kagyud Dharma Miri hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama di bandar ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang turut hadir dan menyertai larian tersebut, berkata program berunsurkan kebajikan dan kesihatan seperti ini bukan sahaja mencerminkan semangat kesukarelawanan masyarakat, malah memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama.
“Program seperti ini menunjukkan betapa eratnya hubungan dan semangat saling menghormati dalam komuniti kita di Miri.


HADIR… Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man semasa hadir pada Program Larian Amal Krokop 2025 anjuran Pertubuhan Dusum Khyenpa Kagyud Dharma Miri.
Inilah cerminan sebenar masyarakat majmuk yang harmoni dan bersatu padu,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Menurut Chiew, inisiatif seperti larian amal juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental dalam kalangan masyarakat.
“Melalui aktiviti seperti berlari dan berjalan santai, kita dapat menggalakkan masyarakat mengamalkan senaman secara konsisten demi kesihatan tubuh badan dan minda.

“Saya sendiri turut serta dalam larian ini sebagai tanda sokongan kepada usaha murni ini,” ujarnya.
Chiew turut berkongsi kenangan peribadi membesar di kawasan Krokop, menjadikan penganjuran program tersebut lebih bermakna buat dirinya.
“Kawasan ini begitu dekat di hati saya kerana di sinilah tempat saya membesar. Saya masih mengingati zaman kecil saya berjalan kaki dari SJK (C) Chung Hua Krokop ke rumah nenek saya di Krokop 3,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur, pasukan polis trafik, Bulan Sabit Merah, serta semua peserta dan sukarelawan yang menjayakan program berkenaan.
“Semoga semangat kebersamaan, kesihatan dan keharmonian yang terpamer hari ini terus menjadi inspirasi untuk kita membina Miri yang lebih sihat, bersatu dan sejahtera,” katanya lagi.
Program berkenaan merupakan penganjuran sulung di kawasan komuniti Krokop dan berjaya menarik penyertaan ramai penduduk tempatan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Oleh Liong Chai Ling