
MIRI: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri, Christopher Jemat Amie, menyarankan agar cadangan Kerajaan MADANI untuk melarang penggunaan telefon pintar di sekolah bagi pelajar berusia 16 tahun ke bawah dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih terancang dan melibatkan kerjasama semua pihak.
Beliau berkata, keselamatan dan disiplin pelajar sememangnya menjadi keutamaan, namun penggunaan telefon pintar juga tidak boleh dinafikan sebagai alat penting dalam proses pembelajaran digital masa kini.
“Telefon pintar bukan sekadar alat hiburan, tetapi juga sumber maklumat, idea dan bahan pembelajaran yang boleh membantu pelajar memahami pelajaran dengan lebih mendalam.
“Oleh itu, dasar ini perlu dilaksanakan dengan pertimbangan menyeluruh,” katanya dihubungi di sini, hari ini.
Christopher turut menekankan keperluan untuk melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), guru, ibubapa serta komuniti bagi memastikan dasar berkenaan mencapai keseimbangan antara keselamatan dan pembangunan potensi pelajar.
“Kita mahu persekitaran sekolah yang selamat, progresif dan berdaya saing. Anak muda harus dididik untuk bijak menggunakan teknologi, bukan disekat daripada potensi mereka,” ujarnya.
Beliau yakin, dengan kerjasama semua pihak, Malaysia mampu membina generasi pelajar yang celik digital dan berdisiplin tinggi seiring dengan aspirasi pendidikan negara.
Oleh Liong Chai Ling